HULU SELANGOR - Seorang wanita terpaksa menahan kesakitan lebih 20 minit akibat tersepit setelah kenderaan jenis Toyota Hilux dipandu suaminya terbabas dalam kejadian di Kilometer 407.4 Lebuhraya Utara Selatan di sini, pada Selasa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pasangan suami isteri berumur lingkungan 30-an itu dipercayai dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Kedah.
Iklan
Iklan
"Toyota Hilux dinaiki kedua mangsa itu dipercayai terbabas sebelum terbalik mengakibatkan mangsa yang duduk di bahagian penumpang hadapan tersepit.
"Bagaimanapun, suami mangsa yang turut mengalami kecederaan ringan berjaya keluar daripada kenderaan tersebut," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Ahmad Mukhlis berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.09 petang.
"Sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Anggota bomba mengambil masa lima minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut," katanya.