25 pasukan sedia sambar Piala Tun Abdul Razak 2023

Iklan
Anil (tengah) bersama jurulatih dan kapten skuad Perak dan Selangor dalam sidang media sempena Piala Tun Razak di Kuala Lumpur pada Selasa. - Foto FB MHC

SEBANYAK 25 pasukan mengesahkan penyertaan pada Kejohanan Hoki Piala Tun Abdul Razak 2023 yang dijadual berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil dan Stadium Hoki Konfederasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Lembah Pantai, Kuala Lumpur bermula esok sehingga 21 Oktober ini.

Daripada jumlah itu, 13 pasukan akan berentap memburu kejuaraan dalam kategori lelaki sementara 12 pasukan bersaing dalam kategori wanita yang akan dibahagikan kepada kumpulan A dan B.

Iklan
Iklan

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh berkata, kejohanan tahun ini tidak disertai Sarawak dan Kelantan bagi kedua-dua kategori, manakala Kedah hanya menghantar pasukan lelaki.

"Pasukan Sabah pula tidak menghantar skuad lelaki. Kemungkinan negeri-negeri tersebut tidak menghantar wakil kerana tidak cukup persiapan serta pemain dan ada juga (pasukan) yang sedang membuat persiapan bagi perlawanan lain akan datang," katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata, terdapat 22 pemain daripada pasukan kebangsaan lelaki, 28 pemain daripada skuad junior lelaki dan 23 pemain kebangsaan wanita tidak dibenarkan menyertai kejohanan musim ini kerana tidak mendapat pelepasan daripada skuad negara.

Bagi saingan wanita yang bertanding ialah Selangor, Pulau Pinang, ATM, Negeri Sembilan, Sabah, Perak, Melaka, Pahang, Terengganu, Kuala Lumpur, PDRM dan Johor.

Iklan

Pengendali pasukan lelaki Perak, K. Rajan mengakui beban berat dapat dirasai apabila kehilangan beberapa tonggak utama daripada pemain kebangsaan yang tidak dapat diturunkan pada permainan edisi ini untuk mempertahankan gelaran buat kali keempat.

"Gandingan pemain baharu dan berpengalaman diharap dapat perkuatkan permainan iaitu terdapat empat pemain baharu yang akan diturunkan pada edisi ini.

"Memang ada tekanan sebab sudah tiga tahun kita menang namun semasa sesi latihan saya nampak mereka ini boleh jadi juara," katanya yang mula mengemudi pasukan itu bulan lepas.

Sementara itu, jurulatih pasukan wanita Selangor, Ikmal Abdul Jabar berkata, peluang masih terbuka buat anak-anak buahnya meraih gelaran buat kali kedua berturut-turut apabila saingan dilihat sama rata.

"Kita datang sebagai juara bertahan pada edisi ini namun saya tidak mahu letak tekanan kepada pemain jadi kita pergi ikut perlawanan," katanya.

Perak muncul juara Piala Tun Abdul Razak 2022 selepas membelasah Pahang 5-1, manakala Selangor menjuarai kategori wanita setelah menewaskan Melaka 3-2. - Bernama