Agong, Permaisuri nikmati nasi kandar di restoran tertua di Pulau Pinang

Iklan
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan berangkat menghadiri majlis santapan tengah hari di Restoran Hameediyah, Lebuh Campbell di sini hari ini. - Foto: Bernama

GEORGETOWN - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke majlis santapan tengah hari di restoran nasi kandar tertua di Pulau Pinang, Restoran Hameediyah, Lebuh Campbell di sini hari ini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua kira-kira jam 12.30 tengah hari disambut oleh orang ramai yang menunggu di sepanjang jalan berhampiran restoran berkenaan yang teruja melihat pasangan diraja itu buat kali pertama.

Iklan
Iklan

Seri Paduka berdua diiringi Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff; Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan isteri, Tan Lean Kee serta pegawai kanan pentadbiran negeri.

Pasangan diraja itu meluangkan masa kira-kira satu jam menikmati juadah di restoran berkenaan.

Iklan

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Restoran Hameediyah, Ahamed Seeni Pakir NM Abdul Sukkoor berkata, pihaknya berasa bangga kerana ini adalah kali pertama ketua negara mencemar duli ke restoran yang kini berusia 112 tahun itu.

Beliau berkata, selepas pihaknya dimaklumkan berhubung keberangkatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ke Restoran Hameediyah pada dua minggu lepas, pelbagai persiapan dijalankan termasuk memastikan restoran sentiasa dalam keadaan bersih.

Iklan

"Seri Paduka berdua berkesempatan mencuba pelbagai jenis juadah termasuk ayam ros, nasi beriyani, murtabak, ayam belanda, daging rendang dan udang goreng. Baginda berdua mencuba semua jenis juadah dan menzahirkan rasa gembira dengan juadah yang dihidangkan.

"Raja Permaisuri Agong juga mencuba roti telur. Baginda sangat menyukainya dan mengatakan ‘the food was amazing’. Juadah yang paling disukai Raja Permaisuri Agong adalah nasi beriyani dan murtabak," katanya ketika ditemui selepas majlis itu.

Ahamed Seeni Pakir yang merupakan generasi ketujuh mengusahakan perniagaan itu berkata, Tunku Azizah menyatakan murtabak di restoran berkenaan rasanya luar biasa berbanding yang terdapat di tempat lain kerana menggunakan 35 jenis rempah ratus yang digiling. - Bernama