SHAH ALAM - Kerajaan disaran mengkaji semula sistem penggunaan kad pembeli yang pernah diwujudkan pada 2013.
Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL), Samsudin Mohamad Fauzi berkata, penggunaan kemudahan tersebut seperti kad pengguna, siswa, dan warga emas pada ketika itu dilihat berjaya, namun selepas 2015, ia tidak lagi dilaksanakan.
"Penggunaan kad ini boleh mengenal pasti pembeli daripada kumpulan B40, M40 atau T20. Jika mereka daripada golongan yang memerlukan, peniaga akan memberikan diskaun ke atas setiap pembelian,” katanya dalam Wacana Sinar Siri 416 bertajuk Potongan Kek Ekonomi Lebih Adil pada Selasa.
Program yang dihoskan oleh Ismail Adnan turut menampilkan dua lagi panelis iaitu Pakar Ekonomi, Dr Muhammed Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah dan disiarkan secara langsung di semua platform media sosial Sinar Harian.
Dalam pada itu, Samsudin turut mencadangkan kepada kerajaan untuk menggubal satu undang-undang bagi tujuan mengambil tindakan kepada pihak yang menyorok atau menyimpan barang keperluan makanan harian seperti telur, minyak masak dan beras.
"Pada saya, perkara ini amat memalukan apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jumpa gudang beras sedangkan ada pihak yang bertanggungjawab ke atas kawal selia makanan rakyat itu.
"Kita perlu ambil tindakan tegas berkaitan sabotaj makanan ini, jadi kena ada undang-undang baharu dan kaji semula isu itu,” ujarnya.