SMK Shah Alam, Datuk Harun buka gelanggang

Iklan

KEJUARAAN Piala Dato' Mokhtar Dahari 2023 kembali menyingkap tirai apabila menemukan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Shah Alam dengan SMK Datuk Harun, Tanjung Karang bagi perebutan Piala Sumbangsih di padang bola sepak sentetik Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Seksyen 19, Shah Alam pada Rabu.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Piala Dato' Mokhtar Dahari 2023, Hashim Anang berkata, kejuaraan edisi kali ini membabitkan penyertaan 32 pasukan sekolah menengah mewakili 10 daerah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) seluruh Selangor.

Iklan
Iklan

Tambah Hashim, saingan kali ini yang dibarakan dengan penajaan Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) bagi kategori Bawah 18 tahun dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) bagi kategori Bawah 15 tahun menjanjikan persaingan sengit daripada setiap pasukan sekolah.

"Aksi Piala Sumbangsih yang merupakan perlawanan pembuka tirai kejuaraan kategori Bawah 18 Tahun Piala Dato' Mokhtar Dahari, akan menemukan juara edisi 2022, SMK Shah Alam menentang naib juara edisi lalu SMK Datuk Harun, Tanjung Karang.

Iklan

"Saya menjangkakan satu perlawanan sengit apabila SMK Datuk Harun, merupakan juara bertahan 2021, yang tewas 2-3 dalam perlawanan akhir pada tahun lalu pasti mahu menebus kekecewaan sebelum ini.

"SMK Shah Alam yang juga pertama kali merangkul kejuaraan berganda (kedua-dua kategori) Piala Dato' Mokhtar Dahari pada 2022 tentu sahaja mahu bermula langkah kanan dengan pemburuan trofi pertama," katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Iklan

Juara Piala Dato' Mokhtar Dahari Kategori Bawah 18 tahun akan membawa pulang RM10,000, naib juara RM7,000, tempat ketiga RM5,000 dan keempat RM3,000.

Sementara itu, juara Piala Dato' Mokhtar Dahari Kategori Bawah 15 tahun pula akan menerima RM8,000, naib juara RM6,000, ketiga RM4,000 dan keempat RM2,000.