MERAK Jalanan tertarik dengan kisah sebuah restoran di lembah Klang yang sebelum ini tular di media sosial apabila terpaksa gulung tikar.
Mungkin disebabkan ia milik bumiputera, timbul sentimen dalam kalangan masyarakat bersimpati dengan nasib pemilik restoran tersebut.
Ada yang mengaitkannya dengan situasi ekonomi negara dan menyalahkan kerajaan.
Menurut mereka, ia menunjukkan ekonomi negara sekarang semakin teruk sehingga ramai peniaga bumiputera ‘bungkus’.
Memang tidak dinafikan faktor ekonomi mempengaruhi kejayaan sesebuah bisnes tidak kira kecil atau besar.
Apabila kuasa beli rakyat mengecil, peniaga akan menghadapi kekurangan pelanggan.
Namun, wajarkah menyalahkan keadaan ekonomi negara semata-mata?
Ya, situasi ekonomi mungkin salah satu faktor tapi apabila Merak Jalanan selidik, rupa-rupanya ada sebab lain restoran tersebut semakin hilang pelanggan.
Bukan sahaja makanan dijualnya tidak menyelerakan tetapi ada yang kompelin layanan kurang memuaskan dan lokasi pula tidak strategik.
Sejak awal-awal lagi ada yang meramalkan ia tidak akan bertahan lama.
Jadi, tak adil rasanya kalau nak mainkan sentimen bahawa ekonomi negara semakin nazak hanya melihat satu-satu perniagaan sahaja.
Sedangkan di luar sana, banyak lagi restoran yang tidak putus-putus menerima pelanggan.
Merak Jalanan teringat bagaimana orang ramai sanggup beratur berjam-jam dalam panas terik di bulan puasa semata-mata untuk membeli nasi arab di bazar Ramadan.
Sebab itu, pengusaha restoran perlu kreatif menarik orang ramai mengambil kira ilmu asas pemasaran 4P iaitu product (barang atau perkhidmatan ditawarkan), price (harga), place (lokasi) dan promotion (promosi).
Merak Jalanan percaya, kalau makanan dijualnya sedap dan layanan memuaskan, gerai di tepi jalan pun orang sanggup datang dari jauh.