Kepala kambing, testis lembu menu unik sarapan di Kelantan

Iklan
Pengalaman sebagai bekas tukang masak di atas kapal selama 20 tahun digunakan sebaiknya dengan menampilkan menu unik di kedai makan Pok Die yang terletak di Batu 11, Ketereh, Kota Bharu.

KOTA BHARU - Seorang peniaga kedai makan di Batu 11, Ketereh di sini menampilkan menu unik untuk sarapan iaitu lidah bakar, testis lembu goreng kunyit dan sup serta kari kepala kambing sekali gus mencetuskan kelainan daripada sedia ada di negeri ini iaitu nasi berlauk.

Lebih menarik lagi, air asam perut, singgang daging dan daging bakar lembu turut turut dijual bersama sup kaki kambing dan ikan rebus goreng.

Iklan
Iklan

Selain itu, menambah lagi kelainan Md Rusmadi Mamat, 46, berkata, kehadiran sambal buah cupu serta mangga membuka lagi selera untuk menikmati hidangan istimewa di kedai makan yang dikenali sebagai Pok Die.

Md Rusmadi dibantu oleh pembantu membakar lidah dan daging lembu.

Beliau mencuba kelainan tersebut apabila melihat ramai yang menjual nasi berlauk, kerabu dan sebagainya pada sebelah pagi.

Iklan

"Saya mula menjual menu unik ini pada tiga tahun lalu untuk meneruskan kehidupan selepas negara diserang Covid-19.

"Sebelumnya saya bekerja sebagai tukang masak di atas kapal selama 20 tahun dan sudah merantau lebih 20 negara, tetapi disebabkan pandemik punca rezeki itu terpaksa dilupakan," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Iklan
Md Rusmadi melayan pelanggan yang datang ke kedainya yang dibuka seawal jam 7.30 pagi.

Menurut bapa kepada seorang anak itu, untuk meneruskan pekerjaan, beliau membuka kedai makan tersebut dan sehingga hari ini ia menjadi tarikan ramai disebabkan menu unik yang ditampilkan.

Ujarnya, lidah lembu bakar akan dihidangkan dengan pencicah yang terdiri daripada kicap bersama campuran bawang dan cili.

Tambahnya, untuk testis lembu, ia akan digoreng kunyit dan kepala kambing pula dibuat sup atau kari mengikut kehendak pelanggan.

Seorang peniaga kedai makan di Batu 11, Ketereh, Kota Bharu menampilkan menu unik untuk sarapan pagi iaitu lidah bakar, testis lembu goreng kunyit dan sup serta kari kepala kambing sekali gus mencetuskan kelainan daripada sedia ada di Kelantan iaitu nasi berlauk.

Bagaimanapun, Md Rusmadi memberitahu, menu tersebut perlu ditempah awal oleh pelanggan kerana penyediaannya rumit serta menggunakan lembu dan kambing tempatan yang disembelih setiap hari.

"Lidah lembu bakar, perut air asam, sup kaki kambing, ikan rebus goreng boleh didapati setiap hari.

"Setiap hidangan dijual pada harga serendah RM6 hingga RM10 bagi seorang makan," katanya.

Beliau berkata, kedainya beroperasi seawal jam 7.30 pagi hingga 2.30 petang dan ditutup pada setiap hari Jumaat.