Tuah percubaan kali pertama

Iklan
Mohamad Syafeq dinobatkan sebagai juara dalam Pertandingan Akhir Pantun Lakon 2023 anjuran BSN dan DBPdi Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP Kuala Lumpur pada Selasa.

KUALA LUMPUR - Percubaan pertama seorang peserta berusia 27 tahun untuk menyertai pertandingan pantun berkonsepkan lakonan membawa tuah berganda apabila dinobatkan juara dan pelakon terbaik bagi Pertandingan Pantun Lakon 2023.

Perekrut bakat Kolej Kejuruteraan Telekomunikasi Puchong, Mohamad Syafeq Zainal Amin berkata, dia tidak menyangka penyertaan dalam pertandingan anjuran Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu membuahkan hasil meskipun waktu untuk berlatih tidak mencukupi kerana kesibukan bekerja.

Iklan
Iklan

"Ia merupakan satu pengalaman dan cabaran baharu, saya tidak pernah menyertai pantun sambil berlakon. Bukan mudah nak buat ala-ala muzikal dengan diiringi kumpulan dikir barat selain perlu memastikan komunikasi 100 peratus bahasa Melayu.

"Kita juga perlu mencipta pantun sendiri dengan menerapkan elemen simpanan daripada produk dan perkhidmatan BSN, cuma skrip lakonan dibuat bersama tiga rakan lain. Persediaan itu diberi dalam tempoh seminggu bermula Ahad lepas," katanya yang membawa pulang wang tunai RM4,000.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual selepas Pertandingan Pantun Lakon BSN x DBP 2023 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP di sini pada Selasa.

Pemenang tempat pertama menerima wang tunai sebanyak RM3,500, manakala tempat kedua, RM2,500 dan tempat ketiga RM1,500.

Iklan
Mohamad Syafeq (tengah) bersama naib juara, Noraznie Syakirah Mohd Nor dan Muhammad Shamsuri Hashim di tempat ketiga dalam Pertandingan Akhir Pantun Lakon 2023.

Pemantun, pelakon terbaik termasuk tiga peserta memenangi hadiah sagu hati masing-masing membawa pulang RM500.

Tambah Mohamad Syafeq, dia pada mulanya hanya meletakkan sasaran ke peringkat akhir, namun bersyukur keputusan menghantar video pendek pada saat akhir itu berbaloi.

"Saya hantar video 30 minit sebelum tutup penyertaan. Apapun kemenangan ini merawat kesedihan kalah pertandingan pantun sebelum ini.

"Alhamdulillah, berkat berlakon teater ketika belajar dulu dan pengalaman dalam bidang berkenaan selama 12 tahun memberikan kelebihan kepada saya untuk hari ini,” katanya.

Sementara itu, menurut Ketua Pengarah DBP, Dr Hazami Jahari, pertandingan tersebut dikhususkan kepada peserta berumur 18 hingga 40 tahun bagi mencungkil bakat pelapis pemantun dalam kalangan anak muda.

Beliau berkata, format pertandingan pantun lakon akhir berlainan daripada kebiasaan kerana peserta akan berlakon secara berkumpulan dan tidak mengenali antara satu sama lain.

"Hanya enam peserta terbaik terpilih ke peringkat akhir, yang memenuhi syarat utama pertandingan ini iaitu mencipta dan melafazkan pantun bersifat pernyataan.

"Walau bagaimanapun, pemenang akhir yang dicari ialah pemenang individu," katanya.