KPM perkenal pengajian berkaitan EV mulai 2026

Iklan
Lim Hui Ying.

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperkenalkan bidang pengajian Teknologi Automotif, Hibrid dan Kenderaan Elektrik (EV) di Kolej Vokasional Pengerang, Johor yang dijangka mula beroperasi pada 2026.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, ketika ini perancangan prabina sedang dilakukan bagi memastikan kursus yang bakal ditawarkan itu dapat disiapkan mengikut garis masa ditetapkan.

Iklan
Iklan

"Langkah ini antara lain bagi menyokong Dasar Automotif Nasional untuk memacu penggunaan EV di Malaysia,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Bagaimanapun, beliau berkata, elemen berkaitan teknologi automotif hibrid dan EV serta teknologi robotik itu telah diterapkan dalam kurikulum di 53 kolej vokasional yang menawarkan program teknologi autmotif, yang pada ketika ini berupaya meningkatkan pengetahuan murid terhadap teknologi terkini.

Iklan

Beliau menjawab soalan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) yang mahu tahu rancangan KPM menambah bilangan kolej vokasional yang menawarkan kursus kemahiran dalam industri EV dan kursus lain seiring perkembangan teknologi semasa seperti teknologi pintar dan kecerdasan buatan (AI).

Sementara itu, Hui Ying berkata, KPM juga komited dalam memastikan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) relevan dengan pekerjaan masa hadapan, iaitu dengan memberi nilai tambah teknologi terkini kepada kandungan kurikulum dalam program diploma yang ditawarkan di kolej vokasional.

Iklan

Katanya, ia melalui perubahan kurikulum baharu selaras Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), sebagai contoh melalui pertanian pintar dan Internet Benda (IoT) dalam bidang pertanian yang diintergrasi melalui latihan amali di lima kolej vokasional yang menawarkan program pertanian ketika ini.

"Selain itu elemen IoT dan AI juga diterapkan dalam kurikulum di 23 kolej vokasional yang tawar program teknologi sistem komputer dan rangkaian melalui pelaksanaan Sistem Rumah Pintar,” katanya.

Hui Ying berkata, ketika ini juga kadar kebolehpasaran lulusan TVET turut menunjukkan peningkatan iaitu pada 2018 sebanyak 97 peratus, 2019 (98 peratus), 2020 (98 peratus) dan 2021 sebanyak 99 peratus. - Bernama