PASIR MAS - Beberapa buah kampung di sekitar mukim Gelang Mas dekat sini dilanda banjir selepas air Sungai Golok dari kawasan Rantau Panjang mulai masuk ke kawasan berkenaan sejak semalam.
Tinjauan Sinar Harian mendapati air antara 0.5 hingga 0.7 meter mulai masuk dan menenggelamkan beberapa buah kampung di sekitar Gelang Mas seperti Kolam, Kaloi, Banggol.
Penduduk di sekitar Pengkalan Kubor, Tumpat dekat sini sudah boleh membuat persiapan menerima 'baki' limpahan air Sungai Golok.
Seorang penduduk Kampung Kolam, Siti Zaibah Teh, 56, berkata, air mulai masuk ke kawasan rumahnya sejak semalam.
"Buat masa ini paras air masih bertahan namun kami penduduk tetap waspada dan sentiasa membuat pemantauan sebagai persediaan awal.
"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana tidak hujan. Seandainya hujan keadaan akan menjadi lebih parah dan mungkin kami sudah berpindah," katanya.
Menurutnya, limpahan air Sungai Golok yang masuk ke kawasan rumahnya tidak seteruk gelombang pertama lalu.
Katanya, gelombang pertama lalu dia dan keluarga terpaksa bermalam di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Gelang Mas.
Sementara itu, Siti Rokiah Hussin, 69, berkata, setiap malam dia akan bermunajat supaya banjir teruk tidak lagi melanda kawasan kampungnya.
Katanya, bagaimanapun dia dan seluruh penduduk tetap waspada dengan situasi semasa ketika.