Pengarah syarikat berpangkat Datuk tipu wanita RM665,000

Iklan
Seorang pengarah syarikat berpangkat Datuk didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada Rabu atas empat pertuduhan memperdayakan seorang wanita sehingga menyebabkan mangsa mengalami kerugian berjumlah RM665,000 tiga tahun lalu.

KOTA BHARU - Seorang pengarah syarikat berpangkat Datuk didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini pada Rabu atas empat pertuduhan memperdayakan seorang wanita sehingga mengalami kerugian RM665,000, tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh yang berusia 38 tahun itu mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menipu dengan memperdaya seorang wanita berusia 52 tahun, untuk membuat tempahan dan bayaran lima peratus deposit untuk 20,000 kotak sarung tangan yang tidak wujud sehingga tertuduh dengan curangnya mendorong mangsa menyerahkan wang sebanyak RM31,000 secara pindaan ke dalam sebuah akaun bank pada 25 Mei 2020, di sebuah akademik memandu di Bachok.

Pertuduhan kedua pula, tertuduh pada 1 Jun 2020 di lokasi sama didapati telah menipu dengan mempedaya mangsa membuat bayaran tambahan 50 peratus deposit tempahan untuk 20,000 kotak sarung tangan yang tidak wujud dan tertuduh dengan curangnya mendorong mangsa menyerahkan wang sebanyak RM310,000 secara pindahan ke dalam sebuah akaun bank.

Iklan

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh pada 9 Jun 2020 di lokasi sama didapati telah menipu dengan mempedaya mangsa membuat bayaran baki harga tempahan untuk 20,000 kotak sarung tangan yang tidak wujud dan tertuduh dengan curangnya mendorong mangsa menyerahkan wang sebanyak RM279,000 secara pindahan ke dalam sebuah akaun bank.

Manakala bagi pertuduhan keempat, pada 7 Julai 2020 di lokasi sama juga, tertuduh didakwa menipu dengan mempedaya mangsa dengan dokumen palsu untuk membuat tempahan sarung tangan getah yang tidak wujud dan tertuduh dengan curangnya mendorong mangsa menyerahkan wang sebanyak RM45,000 secara pindahan ke dalam sebuah akaun bank.

Iklan

Bagi keempat-empat pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, boleh dikenakan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalna Zainal Abidin manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Taufikrullah Rusli dan Muhammad Zulfaqar Al-Basysyar Saharrudin.

Terdahulu, Abu Arsalna mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM100,000.

Mahkamah kemudiannya memberi jaminan terhadap tertuduh sebanyak RM15,000 dan menetapkan sebutan semula kes pada 9 November ini.