Tangguh RUU GEG berpotensi jumlah perokok kanak-kanak meningkat

Iklan
Gambar hiasan (Gambar kecil: Mohamad)

SHAH ALAM - Penangguhan penguatkuasaan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam berpotensi meningkatkan jumlah penghisap rokok dan vape dalam kalangan kanak-kanak.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berkata, pihaknya turut bimbang ketagihan nikotin akan menjurus kepada masalah penagihan dadah pada awal usia ekoran terdapat laporan cecair vape mengandungi campuran dadah.

Iklan
Iklan

"PIBGN sangat bimbang dengan situasi masalah merokok yang berlaku pada ketika ini apabila ada kanak-kanak seawal usia sembilan tahun sudah mula terjebak menggunakan produk merokok terutama vape.

"Apa yang lebih merisaukan adalah produk vape yang berada dalam pasaran sekarang mengandungi kadar nikotin yang sangat tinggi, malah dicampur dengan dadah merbahaya seperti methamphetamine dan 'magic mushroom.'

Iklan

"Tanpa adanya peruntukan generasi penamat (GEG) dan kawalan terhadap produk vape, pintu kepada penagihan dadah akan terbuka seluasnya, malah kebanyakan penagih dadah bermula dari tabiat merokok dan vape," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Isnin lalu, pembentangan undang-undang yang dikenali sebagai RUU Generasi Penamat (GEG) bacaan kali kedua di Dewan Rakyat ditangguhkan kepada suatu tempoh yang tidak dimaklumkan.

Iklan

Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini dilapor menangguhkan pembentangan RUU berkenaanbagi memberi laluan kepada aturan urusan kerajaan lain sebagaimana disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM).

Dalam pada itu beliau berharapa Kementerian Pendidikan (KPM) lebih serius membantu murid yang telah terjebak dengan tabiat merokok dan vape berbanding hanya menekankan aspek disiplin serta hukuman terhadap mereka.

"Kebanyakan penagih dadah bermula dari tabiat merokok dan penggunaan rokok elektronik atau vape. Perkara ini menjadi kebimbangan kami memandangkan tabiat merokok terutamanya vape dalam kalangan murid sekolah semakin kritikal.

"Kita boleh lihat lambakan rokok elektronik dijual di pasaran terbuka yang menarik perhatian murid sekolah dan sekiranya tiada undang-undang untuk mengawal, maka situasi ini menjadi lebih berleluasa," katanya.