SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan digesa memberi layanan dan peruntukan sama rata kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang seperti mana dilakukan di negeri yang dikuasai kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Kamarul Ridzuan (PN-Paroi) berkata, ADUN pembangkang juga telah dipilih oleh rakyat dan merupakan satu institusi yang perlu dihormati oleh semua pihak selaras dengan sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini.
"Saya ingin memberi contoh kematangan dalam konteks di empat negeri ditadbir PN, yang bagi peruntukan kepada ADUN pembangkang sebagaimana peruntukan kepada ADUN mereka (PN).
"Ini bermakna setiap undi dan pilihan yang dizahirkan oleh rakyatnya diterima dengan baik walaupun tidak memihak kepada kerajaan (PN), ini adalah satu ciri keadilan dalam demokrasi dan keadilan Islam," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada Persidangan Kedua (Perasmian) Penggal Pertama DUN Negeri Sembilan yang ke-15, pada Selasa.
Menurutnya, kerajaan negeri boleh dianggap mengkhianati amanah dipertanggungjawabkan jika tidak berlaku adil kepada ADUN pembangkang.
Ujarnya, tindakan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang memberi respons spontan seolah-olah membayangkan tidak akan memberi layanan kepada ADUN pembangkang sebelum ini adalah tidak matang.
"Bagi saya kata-kata itu tidak membayangkan kematangan kata-kata seorang pentadbir yang memegang amanah.
"Kepada menteri besar, tidak hilang maruah membuat perkara betul selepas tersalah kata tapi akan lebih dihormati kerana membuat pembetulan ketika di tangan ada kuasa," katanya.
Ini kerana jelasnya, ia selaras dengan titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan bahawa mandat yang diberi kepada semua ADUN merupakan amanah yang perlu diterjemahkan dengan penuh tanggungjawab.
"Kita semua ADUN dalam dewan ini perlu fokus kepada agenda membangunkan negeri, menyejahterakan rakyat, jangan berbalah dan amalkan politik dendam yang akhirnya menyimpang daripada kewajipan yang perlu ditunaikan dengan penuh integriti, akauntabiliti dan tata kelola yang betul tanpa ada kepentingan mana-mana parti politik atau peribadi," katanya.
Selain itu katanya, walaupun ADUN PN tiada kuasa secara langsung dalam menentukan hala tuju pentadbiran negeri, tetapi mempunyai tanggungjawab kepada rakyat dalam sempadan DUN yang telah dimenangi.
"Ia adalah hak rakyat kami perlu dipenuhi dan atas keperluan yang sama, kami adun pembangkang ada hak kepada pentadbiran untuk dilayan sama adil oleh kerajaan negeri," katanya.
Bagaimanapun, Datuk Bakri Sawir (PH-Klawang) kemudian bangun mencelah dan menasihatkan kepada semua supaya jangan hanya nampak kuman di seberang laut, tetapi gajah di depan mata buat tidak nampak.
"Macamlah PN ini bersih sangat dalam politik sedangkan sebelum pilihan raya fitnah ditebar atau ditabur, rasuah diguna seperti mana telah terbukti," katanya.
Ridzuan Ahmad (PN-Gemas) mempersoalkan fitnah yang dimaksudkan oleh Bakri kerana itu adalah perbahasan menjunjung titah Tuanku.