Satu tan sampah dikutip di Pantai Kuala Kemaman

Iklan
Seramai 300 orang daripada pelbagai agensi dan institusi pendidikan terlibat dalam Program Pantai Angkat dan Pembersihan Pantai Bersama Komuniti Kampung di Pantai Kuala Kemaman pada Rabu.

KEMAMAN - Sebanyak satu tan sampah dikutip hasil Program Pantai Angkat dan Pembersihan Pantai Bersama Komuniti Kampung di Pantai Kuala Kemaman di sini, pada Rabu.

Setiausaha Majlis Perbandaran Kemaman, Nor Sophia Mohd Husin berkata, sampah itu terdiri daripada sisa buangan pengunjung pantai sepanjang 1.5 kilometer termasuk cawan, pinggan plastik dan penyedut minuman.

Iklan
Iklan

"Program ini merupakan salah satu aktiviti tahunan yang dilaksanakan bagi menimbulkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan persekitaran yang bersih selain memberi kesedaran mengenai tabiat buruk membuang sampah di merata tempat.

"Ia juga mendidik masyarakat setempat untuk terus menjaga dan memulihara alam sekitar demi kelestarian alam khususnya keindahan pantai yang menjadi tempat kunjungan ramai,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, pada Rabu.

Iklan
Iklan

Nor Sophia berkata, seramai 300 orang daripada pelbagai agensi dan institusi pendidikan terlibat dalam program berkenaan antaranya Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kemaman.