KUALA LUMPUR - Kerajaan disaran agar menyingkirkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 atau lebih dikenali sebagai RUU Generasi Penamat Rokok (GEG) tetapi mempercepatkan peraturan untuk industri vape.
Presiden Malaysian Vapers Alliance (MVA), Khairil Azizi Khairuddin berkata, GEG yang menyasarkan mereka yang lahir pada tahun 2007 dan seterusnya, adalah tidak adil kerana akan mendiskriminasi pengguna.
Ini kerana katanya, sekiranya RUU tersebut diluluskan, ia akan menjadi larangan seumur hidup kepada sekumpulan rakyat Malaysia, walaupun selepas mereka menjadi dewasa sepenuhnya yang berupaya untuk membuat pilihan.
Bahkan katanya, pengguna yang lahir sebelum 2007 juga akan terkesan kerana mereka perlu membuktikan tarikh lahir mereka semasa membuat pembelian dan mungkin memerlukan mereka untuk membawa pengenalan khas atau sistem kesan dan jejak identiti.
"Memberi layanan yang berbeza kepada dua kumpulan rakyat Malaysia berdasarkan tahun kelahiran mereka adalah tindakan diskriminasi yang jelas bertentangan dengan prinsip kesaksamaan dan keadilan.
"Ini hanyalah satu contoh bagaimana GEG adalah isu yang berbangkit, juga kesan stigma terhadap pengguna dan kesannya terhadap perniagaan, peruncit, pekerja," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Isnin lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui kenyataan memaklumkan RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang dijadual dibentang untuk dibahaskan, ditangguhkan.
Alasan diberikan untuk memberi laluan kepada aturan urusan kerajaan lain sebagaimana disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM), dengan dan pembentangan RUU ini akan dibuat dalam masa terdekat.
RUU berkenaan bertujuan mewujudkan generasi yang bebas daripada tabiat merokok, namun ia hanya akan membabitkan golongan individu lahir selepas 1 Januari 2007.
Ia antara lain melarang penjualan serta penggunaan sebarang bentuk bahan merokok termasuk rokok elektronik atau vape kepada individu yang dilahirkan pada tahun selepas 2007.
Pada masa yang sama, katanya, MVA percaya bahawa peraturan untuk industri vape amat diperlukan, dan mesti diteruskan.
"Oleh itu, kami mencadangkan agar RUU ini harus menggugurkan klausa GEG supaya Rang Undang-undang boleh diteruskan untuk membolehkan pengenalan peraturan yang sangat diperlukan.
"Dengan cara ini, peraturan boleh diperkenalkan untuk menghalang sebarang penjualan kepada individu di bawah umur 18 tahun dan juga memperkenalkan keperluan keselamatan untuk melindungi pengguna," katanya.
Khairil Azizi berkata, mereka difahamkan bahawa Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC), dalam laporan dan penilaiannya terhadap Rang Undang-undang, juga telah mengesyorkan penangguhan dalam pelaksanaan dasar GEG dan laporan serta penilaian mengenai dasar itu perlu dilakukan menjelang Jun 2025 terlebih dahulu sebelum sebarang pelaksanaan.
"Ini menunjukkan bahawa dasar GEG perlu dinilai semula dengan teliti sebelum ia boleh diluluskan sebagai undang-undang. Tidak masuk akal untuk menjadikannya undang-undang sekarang sementara penilaian terhadap pelaksanaan dan kesannya masih tidak tersedia," katanya.
Beliau berkata, MVA komited untuk bekerjasama dengan kerajaan, penggubal undang-undang dan semua pihak berkepentingan untuk memastikan peraturan vape mencapai keseimbangan antara keselamatan pengguna dan hak individu.
Ia termasuklah mengasingkan klausa GEG daripada RUU akan memberi peluang untuk berdialog lebih lanjut dan melakukan pemeriksaan menyeluruh, sambil meletakkan peraturan yang wajar untuk industri vape dengan segera.
"Ini juga akan membolehkan kita secara kolektif mencari penyelesaian yang lebih saksama dan berkesan. Kami berharap dapat melibatkan diri dalam perbincangan yang produktif dengan pihak berkuasa berkaitan bagaimana untuk menangani kebimbangan ini dan mewujudkan rangka kerja kawal selia yang menghormati hak dan pilihan semua rakyat Malaysia,” ulas Khairil.