PUTRAJAYA - Isu penyebaran berita palsu dan tindakan kerajaan Indonesia mengharamkan transaksi e-dagang di platform media sosial TikTok adalah antara topik yang akan diutarakan pada pertemuan dengan pengurusan tertinggi TikTok hari ini, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.
Bercakap kepada pemberita selepas Majlis Jasamu Dikenang Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di sini hari ini, beliau berkata, pertemuan itu akan diadakan di bangunan Parlimen pada 4.30 petang.
"Saya dapati setiap hari akan ada kenyataan media daripada menteri atau kementerian mengenai berita palsu yang sedang tersebar dalam media sosial termasuk Tiktok. Sudah pasti sebaran palsu ini, kita di pihak kerajaan berusaha (menangani) dengan adanya segmen baharu setiap hari (di RTM) iaitu Biar Betul!
"Namun pada masa sama kita perlukan kerjasama erat juga di kalangan platform media sosial sekiranya mereka mendapati (ada) elemen-elemen ‘coordinated inauthentic behavior’ (CIB),” katanya.
Beliau berkata, pengendali platform media sosial sewajarnya mengambil tindakan proaktif kerana CIB sudah semestinya melanggar garis panduan yang telah ditetapkan.
Mengulas larangan transaksi e-dagang dalam Tiktok di Indonesia, Fahmi berkata, beliau akan berhubung dengan kerajaan Indonesia bagi mendapatkan maklumat secara terperinci mengenainya dan juga daripada pengurusan TikTok.
"Saya ambil maklum ada ramai yang setuju, ramai kurang setuju, tapi kita ingin faham dahulu keadaan secara keseluruhan. Konteks di Malaysia berbeza daripada Indonesia tapi saya lihat ada keperluan untuk lihat secara keseluruhan,” kata Fahmi.
Pada 7 Oktober lepas, Fahmi berkata, kerajaan akan meneliti terlebih dahulu tindakan yang dilakukan oleh kerajaan Indonesia mengharamkan transaksi e-dagang di platform media sosial TikTok sebelum merangka langkah yang bersesuaian di Malaysia.
Menteri Perdagangan Indonesia Zulkifli Hasan sebelum ini mengumumkan Indonesia mengharamkan transaksi e-dagang dalam platform media sosial TikTok yang memberi pendapatan tinggi peniaga dalam talian.
Dalam pertemuan dengan pengurusan Tik Tok itu, Fahmi juga akan membangkitkan isu dana iklan atau ‘advertising expenditure’ yang dihadapi oleh beberapa syarikat media.
Terdahulu, Fahmi dalam ucapan pada majlis berkenaan berkata, pengalaman petugas KKD sepanjang tempoh berkhidmat diharap dapat dikongsikan kepada penjawat awam yang sedang berkhidmat.
"Melalui perkongsian ilmu ini, adalah diharapkan agar mutu penyampaian perkhidmatan penjawat awam khususnya warga kementerian dan agensi bawah KKD dapat sentiasa ditambah baik,” katanya.
Seramai 128 pesara merangkumi agensi di bawah KKD antaranya Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Jabatan Penyiaran dan Jabatan Penerangan diraikan dalam majlis itu. - Bernama.