GEORGE TOWN - Semua persoalan yang berbangkit mengenai penjualan tanah seluas 223.6 hektar di Byram, Kawasan Perindustrian 2 Batu Kawan (BKIP2), Batu Kawan kepada syarikat UMECH Construction Sdn Bhd (UMECH) akan dijawab oleh pemilik tanah berkenaan, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Lembaga Pengarah PDC akan mengadakan mesyuarat berhubung perkara itu minggu hadapan.
"Sebarang pertanyaan atau persoalan yang berbangkit akan dijawab oleh Lembaga Pengarah PDC selepas mereka mengadakan mesyuarat minggu depan," katanya pada sidang akhbar di Wisma UAB di sini pada Rabu.
Kon Yeow berkata, pihak PDC telah memberi keterangan berhubung penjualan tanah berkenaan dalam mesyuarat bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pulau Pinang pada pagi Rabu.
"MMK mengambil maklum keterangan PDC dan kita serahkan kepada PDC untuk mengadakan persidangan minggu depan untuk mengambil (apa-apa) keputusan," katanya.
Ditanya mengenai cadangan penggantungan sementara urusan jual beli tanah berkenaan bagi membolehkan semua perkara berbangkit dapat diselesaikan, Kon Yeow bagaimanapun tidak memberi sebarang komen mengenai perkara itu.
Sebelum ini, Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang membangkitkan isu proses tender penjualan tanah milik kerajaan negeri di Byram, Seberang Perai Selatan selain mempersoalkan mengapa syarikat tempatan dikatakan tidak diberi peluang untuk turut serta dalam proses itu.
Susulan daripada itu, Kon Yeow dalam satu kenyataannya telah mempertahankan urus niaga menerusi rundingan terus yang dimeterai dengan UMECH Construction.
Beliau dilaporkan berkata, PDC telah membawa cadangan projek Taman Perindustrian di Byram ke Expo Dubai 2020 untuk mendapatkan pelabur yang berminat.
Ini kerana katanya, pembangunan kawasan itu berdepan dengan pelbagai halangan terutama faktor lokasinya yang berdekatan dengan tapak pelupusan sampah Pulau Burung, laluan lori-lori sampah, kos penyediaan infrastruktur yang tinggi dan sebagainya.
Kata Kon Yeow, kekangan yang dihadapi itu menyebabkan usaha-usaha promosi menarik pelabur adalah sangat mencabar.
Tambahnya, kerajaan negeri juga telah membuat pengumuman di media dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) dalam usaha untuk menarik pelabur dalam dan luar negara untuk projek tersebut.
"Ketika Expo Dubai 2020, UMECH Construction menyuarakan minat untuk melabur dalam projek itu dan selepas perbincangan, PDC yakin syarikat itu memiliki sumber kewangan untuk melaksanakannya," katanya.