HERAT - Gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda wilayah Barat Afghanistan pada Rabu telah mengorbankan seorang dan mencetuskan panik dalam kalangan penduduk yang masih trauma selepas beberapa siri bencana sama berlaku pada minggu lalu.
Gempa berlaku pada waktu subuh di wilayah Herat, lokasi sama yang turut mengorbankan 2,000 orang pada Sabtu lalu.
Iklan
Iklan
"Ia amat dahsyat, seluruh penduduk di Herat berada dalam ketakutan," kata Abdul Qudos, 32.
Pengurus ambulans Hospital Wilayah Herat, Abdul Zahir berkata, sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan 120 cedera.
"Penduduk yang berada di kawasan terbuka masih mengalami kecederaan akibat serpihan rumah menimpa mereka," katanya.
Gegaran susulan berukuran 5.0 dan 4.1 magnitud dikesan di lokasi sama dan wartawan AFP berkata, kerosakan di bandar Herat yang didiami 500,000 penduduk adalah minimum.
Sehingga hari ini, penduduk masih tinggal dalam khemah, kereta dan kawasan taman sejak gempa bumi kuat berukuran 6.3 magnitud berlaku pada Sabtu lalu dan disusuli beberapa siri gegaran lain. - AFP