''Allahyarham Hazlami mudah mesra, suka bantu orang' - Sepupu

Iklan
Anak sulung Allahyarham Hazlami, Mawardah (kiri) berada di pusara bapanya. Gambar kecil: Hazlami

SUNGAI PETANI - Pendaki Malaysia yang meninggal dunia ketika mendaki di pergunungan Mera Peak, Nepal, Hazlami Ahmad Nizam disifatkan sebagai seorang yang mudah mesra dan suka membantu.

Sepupu Allahyarham Hazlami, Shahidah Nailul Morad, 37, berkata, sifat Allahyarham yang juga kakitangan Petronas Chemicals Gebeng, Kuantan itu disenangi ramai membolehkannya mudah didekati.

Iklan
Iklan

"Dia seorang yang sangat baik, menjaga solat, bertanggungjawab, ramah, bahkan sentiasa bantu orang lain. Berita kematian ini membuatkan keluarga dan rakan sangat terasa kehilangan beliau.

Shahidah ketika ditemui media di Masjid Muhibbuddin Sungai Pasir pada Rabu.

"Memang dia minat mendaki, setahu saya, ini bukan pendakian yang pertama... sudah banyak kali dia mendaki, dalam dan luar negara," katanya ketika ditemui di pekarangan Masjid Muhibbudin, Sungai Pasir di sini pada Rabu.

Iklan

Sebelum ini, jenazah Hazlami yang diterbangkan dari Nepal kira-kira jam 11.30 malam Selasa, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada jam 12.40 tengah hari Rabu sebelum tiba di Masjid Muhibbudin pada jam 3 petang.

Jenazah yang diiringi kira-kira 200 ahli keluarga dan rakan, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit, Sungai Pasir pada jam 5 petang.

Iklan

Jelas Shahidah, Allahyarham Hazlami yang merupakan anak kedua daripada empat beradik, meninggalkan seorang isteri, Nur Farhah Busyra Ismail, 33, dan tiga anak termasuk Mawardah, 6, Muhammad, 4, dan Munawarah, 1.

Jenazah disembahyangkan di Masjid Muhibbuddin sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit.

"Ibunya sudah meninggal dunia pada tahun 2021.

"Isterinya sedang sarat mengandung anak keempat dan dijangka melahirkan bayi pada Januari tahun depan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Hazlami meninggal dunia pada pagi Khamis ketika mendaki di High Camp pada ketinggian 5,700 meter menuju ke Mera Peak yang merupakan salah satu daripada 18 puncak gunung yang popular di Banjaran Himalaya, Nepal.