19 MoU, 3 MoC bidang pendidikan tinggi dimeterai di Turkiye, Iran

Iklan
Mohamed Khaled - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Sebanyak 19 Memorandum Persefahaman (MoU) dan tiga sesi Memorandum Kerjasama (MoC) berjaya dimeterai, sempena lawatan kerja lima hari Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ke Turkiye dan Iran, baru-baru ini.

Lawatan kerja itu bagi memperkukuhkan lagi hubungan dua hala dalam bidang pendidikan tinggi dan meneroka prospek kerjasama, khusus dalam aspek penyelidikan, pertukaran tenaga pakar serta program mobiliti jangka pendek pelajar kedua-dua negara.

Iklan
Iklan

Mohamed Khaled dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Tinggi pada Rabu berkata, pemeteraian MoU itu jelas membuktikan bahawa kualiti IPTA negara semakin diyakini sehingga ia diiktiraf negara luar.

"Semoga pencapaian membanggakan ini akan menjadi pemangkin, kepada usaha kita memartabatkan sektor pendidikan tinggi negara di peringkat global,” katanya.

Iklan

Dalam lawatan kerja ke Turkiye pada 5 hingga 6 Oktober, tiga MoU dimeterai antara Istanbul Gelisim University (IGU) bersama tiga Universiti Awam (UA) Malaysia iaitu Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Malaya (UM).

Fokus utama MoU itu bagi pelaksanaan Program Pesisir antara USM dan IGU, serta beberapa perkara dipersetujui termasuk pertukaran pelajar dan staf, kerjasama penyelidikan, membangunkan projek secara penyelidikan, dan melakukan penerbitan bersama serta meningkatkan penglibatan syarikat multinasional dari Turkiye.

Iklan

Sementera itu, lawatan kerja ke Iran pada 7 hingga 9 Oktober pula, menyaksikan 16 MoU dan tiga MoC berjaya dimeterai bersama empat universiti di Iran, yang merupakan sebuah negara terkenal dalam bidang sains dan teknologi.

Sebanyak lima MoU dan satu MoC dimeterai bersama University of Isfahan; lima MoU dan satu MoC bersama Islamic Azad University; lima MoU bersama D-8 International University (D8IU); dan satu MoU bersama Art University of Isfahan.

Antara bentuk kerjasama disepakati ialah dalam bidang agrikultur, sains dan teknologi, pertukaran pelajar, penyelidikan dalam bidang kejuruteraan, penganjuran bengkel dan program latihan bersama, serta memperluaskan kursus dual degree yang mampu meningkatkan produktiviti dan kebolehpasaran pelajar.

Kenyataan itu memaklumkan hubungan erat yang terjalin itu boleh dimanfaatkan dengan mengadaptasi inovasi yang dibangunkan agar mampu menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara.

Sepanjang lawatan kerja itu, Mohamed Khaled turut berkesempatan menyampaikan syarahan umum, yang menekankan kepentingan memperkukuh jalinan kerjasama yang mampu menangani isu seperti keterjaminan makanan, pendidikan dan kemahiran, serta perubahan iklim.

Selain itu, beliau turut menghadiri Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah D8IU di Hamedan, Iran secara bersemuka dan maya, yang menghimpunkan wakil dari enam negara iaitu Malaysia, Iran, Pakistan, Bangladesh, Indonesia dan Nigeria.

Dalam mesyuarat itu, beliau mencadangkan agar D8IU tidak lagi menjadi sebuah universiti konvensional, sebaliknya ia perlu mempunyai niche area tersendiri, seperti bidang sains dan teknologi.

"Turut disarankan agar satu kertas konsep water for humanity dibangunkan oleh penyelidik dalam kalangan negara anggota. D-8 harus menyerlahkan keterlihatannya melalui peranan dimainkan, yang sekali gus mampu menarik minat lebih banyak negara untuk menganggotainya.

"Diharapkan pertemuan tersebut menjadi lembaran yang penuh bermakna, kepada usaha untuk memartabatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang dipandang tinggi di persada dunia,” katanya.

Dalam pada itu, sesi kunjungan hormat ke atas Menteri Sains, Penyelidikan dan Teknologi Iran, Mohamad Ali Zolfigol turut diadakan di Hamedan, Iran, bagi membincangkan usaha memperkukuh hubungan kedua-dua negara melalui sektor pendidikan tinggi.

"Saya berharap inisiatif dijayakan ini dapat diterjemah dengan daya usaha serta komitmen yang tinggi, seterusnya mampu melonjakkan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang sarat dengan sumbangan terhadap kesejahteraan masyarakat, di peringkat global,” katanya. - Bernama