KPDN serbu lokasi transit sorok bahan api di sempadan

Iklan
Turut ditemui sejumlah bekas plastik dipercayai berisi petrol dan keseluruhan bahan api yang disita dianggarkan lebih 1,500 liter dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM3,100. - FOTO KPDN KEDAH

DURIAN BURUNG - Pasukan Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Kedah menyerbu tiga lokasi berhampiran pintu sempadan negara, dekat sini dan menyita lebih 1,500 liter petrol pada pagi Rabu.

Pengarah KPDN Negeri Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, tiga lokasi tersebut dipercayai dijadikan sebagai transit iaitu tempat simpanan sementara bahan api sebelum diseludup ke negara jiran.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil serbuan pasukan penguat kuasa telah menemui tiga buah kenderaan tanpa tuan diletakkan di kawasan tersebut bersama bekas plastik yang dipercayai diisi petrol.

"Kenderaan-kenderaan berkenaan juga telah diubahsuai dan didapati mempunyai tangki tambahan.

Iklan

"Dua buah kenderaan bernombor pendaftaran Thailand dan sebuah kenderaan bernombor pendaftaran tempatan tersebut telah disita dengan anggaran bernilai RM20,000 untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Jelasnya, dua lagi lokasi berhampiran turut ditemui sejumlah bekas plastik dipercayai berisi petrol dan keseluruhan bahan api yang disita dianggarkan lebih 1,500 liter dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM3,100.

Iklan

"Nilai rampasan keseluruhan sitaan dianggarkan berjumlah RM23,100 dan serbuan dilakukan berdasarkan aduan daripada penduduk setempat dan juga hasil risikan yang dibuat oleh anggota KPDN sebelum ini," ujarnya.

Affendi berkata, siasatan akan dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Menurutnya, KPDN memberi amaran keras dan menegaskan bahawa Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti penyelewengan barang kawalan ini.

"Tindakan tegas akan diambil termasuklah mendakwa mereka di mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) (Akta 613)," kata beliau lagi.