Kerajaan hasrat gubal akta khusus berkaitan tender terbuka

Iklan
Ahmad ketika sesi penggulungan sempena Sidang Dewan Rakyat di Parlimen pada Rabu. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kerajaan berhasrat menggubal akta khusus berkaitan tender terbuka kerajaan, Dewan Rakyat diberitahu pada Rabu.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, akta yang dikenali sebagai Akta Perolehan Kerajaan (Government Procurement Act) dijangka dibentangkan di Parlimen pada suku kedua 2024.

Iklan
Iklan

"Apabila disebut tentang isu-isu tender terbuka... skandal itu dan ini, maka ini menjadi hasrat Kementerian Kewangan untuk menggubal akta khusus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (RUU KATF 2023) di Parlimen pada Rabu.

Iklan

Ahmad berkata, sehubungan itu segala pengurusan berkaitan tender terbuka kerajaan tidak perlu dimasukkan dalam RUU KATF 2023 tersebut.

Sementara itu, menyentuh mengenai RUU KATF 2023, beliau berkata, penggubalan RUU tersebut akan memberi kesan positif ke atas kestabilan penarafan kredit berdaulat Malaysia.

Iklan

Ini kerana RUU itu memperkenalkan had nilai kuantiti yang dapat mengurangkan pendedahan terhadap risiko dengan menangani kelemahan dan meningkatkan kapasiti fiskal bagi menguruskan sebarang kejutan.

"Antara kriteria yang jelas oleh agensi penarafan kredit dalam meningkatkan penarafan sedia ada negara termasuk hasil, mengekalkan penurunan beban hutang serta meningkatkan kemampuan untuk menurunkan defisit,” katanya.

Menjawab persoalan sama ada pindaan kepada akta itu boleh mengganggu perjalanan pembentangan belanjawan, Ahmad berkata, sebarang pindaan selepas diluluskan tidak akan memberi kesan kepada belanjawan.

Terdahulu, ketika membentangkan RUU tersebut, Ahmad berkata, kerajaan telah menetapkan sasaran iaitu perbelanjaan pembangunan tahunan sebagai peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekurang-kurangnya tiga peratus; baki fiskal sebagai peratusan kepada KDNK sebanyak -3.0 peratus atau kurang dalam tempoh tiga hingga lima tahun.

Sasaran itu juga memastikan paras hutang sebagai peratusan kepada KDNK sebanyak 60 peratus atau kurang dalam tempoh tiga hingga lima tahun dan jaminan kewangan sebagai peratusan kepada KDNK tidak melebihi 25 peratus.

Beliau berkata, penekanan turut diberikan terhadap kebertanggungjawaban Menteri Kewangan kepada Parlimen dalam melaksanakan tanggungjawabnya menggubal dasar fiskal dan mengurus kewangan awam.

"Ini termasuk memastikan kemampanan dasar hasil, keberkesanan perbelanjaan serta pengurusan berhemat hutang dan risiko fiskal,” katanya.

RUU KATF 2023, kemudiannya diluluskan dengan lebih suara bersetuju semasa persidangan yang dipengerusikan oleh Timbalan Yang Dipertua, Alice Lau Kiong Yieng dengan 17 ahli Parlimen mengambil bahagian dalam sesi perbahasan. - Bernama