PENGACARA serba boleh, Elly Mazlein sekali lagi mengejutkan peminatnya apabila membuat pengumuman untuk menarik diri daripada program All Stars Gegar Vaganza (ASGV).
Bukan lagi sekadar gimik, Elly atau lebih mesra disapa sebagai Kak Lina berkata, dia nekad dengan keputusan tersebut.
Menerusi kenyataan di Instagram Storynya, Elly enegaskan bahawa keputusan tersebut adalah kemahuan dirinya sepenuhnya.
"Sayang, ini bukan salah Astro, ini semua bukan gimik seperti Nabil Ahmad cakap.
"Inilah kenyataan di mana Kepom (Kak Lina) sudahpun tinggalkan GV buat selama-lamanya.. Ya.. tiada lagi.. cukup.. Ini semua keputusan Kepom sendiri," katanya dalam kenyataan tersebut pada Rabu malam.
Dalam pada itu, Elly turut menafikan dakwaan dia sedang berbadan dua.
Menurutnya, dia kini dalam keadaan baik-baik sahaja dan turut mengucapkan terima kasih kepada peminat yang memberikan kata-kata semangat kepadanya.
"InsyaAllah kita jumpa di lain rancangan di Astro nanti, di GV sahaja Kepom tiada," ujarnya.
Dalam pada itu, Kak Lina turut menitipkan kata semangat kepada para peserta ASGV yang masih kekal di pentas itu.
Terdahulu, Astro dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, keputusan Kak Lina tidak lagi bersama keluarga besar Gegar Vaganza adalah disebabkan hal peribadi.