KEFAHAMAN mendalam terhadap pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) sangat penting bagi mengelakkan lebih ramai terjerumus dengan ajaran sesat yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam.
Malaysia adalah antara negara Islam yang menetapkan pegangan rasmi masyarakat Islam berdasarkan akidah dan fatwa ASWJ yang ditentukan oleh keputusan dan pengamalan jawatankuasa fatwa majlis kebangsaan, mufti serta ahli jawatankuasa fatwa seluruh Malaysia.
Walau bagaimanapun, isu penyebaran ajaran sesat seringkali menjadi tumpuan kerana jumlah pengikutnya semakin meningkat dan lebih membimbangkan apabila ia melibatkan semua tingkat generasi tanpa mengira umur dan jantina.
Justeru, semua umat Islam dinasihatkan supaya sentiasa berpegang dengan ajaran ASWJ dan merujuk kepada individu atau sumber yang sahih bagi memastikan situasi itu dapat dibendung.
Ia juga penting bagi memastikan agama Islam tidak mudah diancam musuh dan pemesongan akidah tidak berlaku kerana ajarannya jelas bercanggah dengan syarak.
Sinar Harian pada Rabu melaporkan, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, ancaman ke atas ASWJ kini dilakukan secara terang oleh musuh Islam dan berselindung melalui gerakan batiniah tertentu.
"Umat Islam perlu berganding bahu memastikan pegangan ASWJ sentiasa dilindungi, dipelihara dan dihayati.
"Tindak-tanduk individu mempamerkan diri mereka sebagai ulama, ustaz, tuan guru dan seumpamanya namun pada hakikatnya, mereka membawa ajaran yang menyeleweng dan tafsiran yang menyimpang daripada landasan.
"Usaha untuk meningkatkan kefahaman mengenai pegangan ini merupakan usaha penting untuk memastikan keharmonian ummah dapat dijamin,” titah baginda.
Islam merupakan agama yang telah lengkap dengan pengutusan nabi dan rasul yang terakhir iaitu Muhammad SAW.
Oleh itu, sebarang ajaran bersifat universal atau setempat seperti tafsiran baharu terhadap syariat yang telah termaktub dalam al-Quran dan sunah, pastinya ia adalah ajaran menyeleweng dan sesat.