LAPAR dan tidak berdaya. Begitulah keadaan kanak-kanak malang di Somalia akibat kebuluran melanda negara berkenaan seperti dilaporkan media antarabangsa.
Mirror UK melaporkan, kanak-kanak di sana kekurangan zat makanan yang mengalami masalah dehidrasi teruk adalah antara empat juta individu menghadapi tahap krisis kelaparan di Somalia akibat perang.
Lebih menyedihkan, ada dalam kalangan kanak-kanak juga dilaporkan tidak berdaya meletakkan tangan di atas kepala mereka sendiri dan tubuh mereka juga semakin hari semakin kurus.
Negara miskin di Afrika Timur itu dilanda peperangan selama beberapa dekad dan kumpulan pengganas Islam Al-Shabaab menguasai kawasan yang luas.
Sementara itu, di Semenanjung Gaza, Palestin pula penduduknya mengalami hari paling teruk dalam tempoh 15 tahun susulan serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini oleh Hamas ke Israel, dengan serangan udara Israel membunuh hampir 300 rakyat Palestin dalam masa 24 jam, menurut pegawai Palestin.
Media turut melaporkan serangan udara Israel ke atas Gaza bermula sejurus selepas serangan Hamas dan berterusan semalaman hingga Ahad, memusnahkan pejabat dan kem latihan kumpulan itu, bersama dengan rumah dan bangunan lain.
Ketika serangan udara bermula pada hari Sabtu, beribu-ribu penduduk Palestin yang tinggal berhampiran sempadan dengan Israel meninggalkan rumah mereka.
UNRWA, agensi PBB yang menyediakan perkhidmatan penting kepada rakyat Palestin berkata, sekurang-kurangnya 20,000 rakyat Palestin berlindung di 44 buah sekolah yang dikendalikannya di Semenanjung Gaza.
Dalam satu kenyataan, UNRWA turut berkata, dua budak lelaki, kedua-duanya pelajar di sekolah kendalian PBB di Khan Younis dan Beit Hanoun, disahkan menjadi antara yang terbunuh.
Peristiwa-peristiwa ini mengingatkan kita semua sebagai umat Islam, termasuk diri saya agar sedar bahawa kini kita benar-benar berada di akhir zaman.
Banyakkanlah amal ibadah kepada ALLAH SWT dan hindari perkara yang melekakan dan melalaikan serta menjauhkan diri daripada maksiat dan mungkar.
Jangan tunggu datang musibah, meragut ribuan nyawa, baru hendak insaf semula, jangan cabar ALLAH SWT. Jangan undang kemurkaanNya.
Ketika negara dilanda pandemik, kecoh rakyat Malaysia kerana tidak dapat solat berjemaah di masjid namun sekarang sudah boleh berjamaah, masjid dan surau masih lengang.
Harus diingatkan bahawa rakyat Malaysia juga tidak lapar atau tidak berdaya seperti di Somalia atau Palestin yang sentiasa berdepan bahaya dalam kehidupan mereka.
Kita di sini masih cukup makan walaupun ada pihak yang mendakwa ada pihak lain sorok beras untuk meraih sedikit untung ketika dunia dilanda krisis makanan.
Langkah terbaik adalah isu beras dan padi ini tidak perlu kita politikkan kerana ini adalah isu negara yang wajar diselesaikan bersama semua pihak.
Ini kerana ia membabitkan keterjaminan makanan yang menjadi tanggungjawab bersama.
Semua pihak perlu memainkan peranan dan bertenang kerana kekurangan beras tempatan ini akan diatasi kerajaan dalam tempoh terdekat dan ia di peringkat pelaksanaan.
Perkara ini dizahirkan sendiri Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Azman Mahmood dalam satu temu bual bersama agensi media tempatan.
Beliau turut menjelaskan rakyat Malaysia pun sudah mengatasi masalah itu seperti mana ketika pandemik Covid-19 kerana isu bekalan beras tidak menjadi isu nasional kerana ia tidak dipolitikkan pada ketika itu.
Sokongan rakyat Malaysia ke arah itu perlu seiring dengan hasrat kerajaan dan bukan hanya dengan melemparkan pelbagai dakwaan negatif kerana dakwaan seperti itu tidak dapat membantu.
*Wartawan Sinar Harian Selangor dan Kuala Lumpur, Mohd Azlim Zainury