Bajet sukan kena lebih agresif

Iklan
Laporan Sukan Sinar pada 9 Oktober. Gambar kecil: Mohd Sadek

PERUNTUKAN lebih agresif menjelang pembentangan Bajet 2024 perlu dalam memastikan arena sukan negara kembali konsisten berdaya saing di temasya sukan dunia pada masa depan.

Malah, tegas penganalisis sukan tempatan, Mohd Sadek Mustafa, penambahan peruntukan untuk sukan juga perlu dijadikan agenda nasional selepas pencapaian negara Sukan Asia Hangzhou 2022 baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Katanya, peruntukan untuk pembangunan perlu diperkasakan semula selepas negara terlalu bergantung kepada barisan atlet senior untuk meraih pingat di kejuaraan atau temasya dunia.

"Isu sekarang ialah kita terlalu fokus untuk mengejar pingat tapi tidak meletakkan peruntukan yang besar untuk program pembangunan. Contohnya jika kita letakkan RM1 juta untuk Program Podium, kita juga perlu meletakkan RM3 juta untuk program pembangunan.

Iklan

"Kita juga perlu aktifkan semula pusat-pusat latihan sukan dan institut sukan satelit dalam usah memperkemaskan semula program pembangunan di peringkat negeri.

"Ini penting supaya kemajuan atlet diselia dan dipantau lebih bersistematik jurulatih bertauliah dan pegawai sains sukan bagi memastikan prestasi atlet berbakat dapat digilap dan dikembangkan pada aras lebih kompetitif,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Iklan

Ketua Kontinjen Negara (CDM) ke Sukan Asia Hangzhou 2022, Datuk Chong Kim Fatt ketika rumusan prestasi kontinjen negara sebelum ini mengharapkan perhatian lebih dapat diberikan dalam bentuk peruntukan bagi memastikan atlet negara dapat berdaya saing di temasya sukan dunia pada masa depan.

Jelas Kim Fatt, kontinjen negara mampu beri saingan bermutu tinggi dan dominan dalam disiplin tertentu sekiranya beberapa sukan dapat diperkasakan dengan suntikan dana dan sokongan material serta moral kerajaan khususnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) serta Institut Sukan Negara (ISN).

Mohd Sadek juga menyifatkan menjadi tuan rumah kepada penganjuran sukan temasya dunia antara proses pembangunan sukan jangka panjang.

"Malaysia sebelum ini pernah menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 1998, dan prestasi kontinjen negara menyerlah selepas temasya itu.

"Selain itu juga kebanyakan acara yang dipertandingkan di Sukan Asia sebenarnya acara sukan yang turut dipertandingkan di Sukan Olimpik.

"Dari sini kita sudah boleh merancang memfokuskan kepada acara sukan berintensiti tinggi yang boleh menghadirkan pingat untuk negara selain memastikan atlet negara kekal kompetitif,” katanya.