TRAGEDI kemalangan maut melibatkan kenderaan berat seperti lori dan treler bukanlah perkara baharu di negara ini.
Acap kali alasan yang diberi pemandu yang terlibat kemalangan adalah kenderaan mengalami masalah kerosakan brek.
Nak sempat brek bagaimana jika pandu macam di litar lumba, bukan sahaja laju, kejap ke kiri kejap ke kanan. Itu belum diambil kira yang membawa muatan berlebihan yang ada kalanya dua kali ganda lebih berat daripada had dibenarkan.
Lepas kemalangan besar melibatkan angka kematian yang tinggi, sibuklah seketika agensi berkaitan melakukan operasi melibatkan kenderaan berat sama ada operasi had lajuan atau muatan berlebihan.
Namun sayang sekali sehingga kini, Merak Jalanan seperti rakyat yang lain ternanti-nanti jalan penyelesaian yang lebih tuntas bagi menangani isu lapuk ini.
Kenapa sukar sangat nak perkenalkan undang-undang yang lebih tegas seperti hukuman penjara dan sebat kepada pemandu yang membawa muatan berlebihan termasuk pemilik syarikat.
Setakat denda duit, pemilik tak hairan kerana memperoleh untung berlipat ganda dengan membawa muatan berlebihan.
Merak Jalanan teringat juga pada tahun tahun 90-an, semua kenderaan berat diwajibkan memasang lampu merah di atas bumbung dan lampu itu akan berkelip sekiranya mereka melepasi had kelajuan ditetapkan.
Namun tak tahu ke mana hilangnya undang-undang ini, lori dan treler kini dilihat tidak lagi diwajibkan memasang lampu berkenaan. Mungkin undang-undang itu telah dijadikan ‘tukun’.
Dalam masa sama, pemasangan kotak hitam yang dapat merekodkan kelajuan juga merupakan satu usaha yang baik. Jika berlaku kemalangan, dah tak boleh beri alasan brek rosak lagi jika data kotak hitam menunjukkan kenderaan berat terbabit dipandu laju.
Namun janganlah peraturan berkenaan pun ‘ghaib’ di masa depan sama seperti pelaksanaan pada bas ekspres sebelum ini.