BERKAHWIN merupakan antara sebab utama murid berhenti sekolah, berdasarkan rekod dalam Sistem Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) dari tahun 2019 hingga 2023.
Selain berkahwin, tidak berminat, bekerja, masalah keluarga dan sukar ke sekolah antara faktor lain murid berbuat demikian seperti dijelaskan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying di Dewan Rakyat semalam.
Berdasarkan undang-undang, pelajar perempuan yang berhenti sekolah untuk berkahwin ketika berusia 16 tahun atau 17 tahun iaitu semasa berada di Tingkatan Empat dan Lima bukanlah satu kesalahan.
Sebagai contoh, Enakmen Keluarga Islam dan Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 menetapkan had umur minimum perkahwinan bagi orang Islam ialah 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan.
Biarpun begitu, hukum nikah dalam Islam bergantung kepada keadaan seseorang sama ada wajib, sunat, haram dan makruh.
Wajib bagi seseorang yang merasa yakin dirinya tidak selamat daripada perzinaan jika dia tidak berkahwin manakala sunat bagi seseorang yang benar-benar berkeinginan dan berkemampuan serta tidak bimbang terjadinya perzinaan jika dia tidak berkahwin.
Bagaimanapun hukum perkahwinan boleh bertukar menjadi haram jika seseorang yang tidak mampu menanggung nafkah isteri atau pasti akan melakukan kezaliman terhadap isteri jika dia berkahwin.
Makruh bagi seseorang yang ingin berkahwin tetapi tidak berkemampuan menyediakan mas kahwin dan nafkah.
Jika berhenti sekolah semata-mata untuk berkahwin kerana bimbang melakukan zina, namun dalam masa sama tidak berkemampuan dari segi kewangan hingga menimbulkan perbagai masalah di masa hadapan, ingatlah berpuasa juga salah satu cara elakkan zina dan maksiat, bukan ambil jalan mudah berhenti sekolah dan berkahwin.
Selain itu, berhenti sekolah semata-mata ingin berkahwin juga bukanlah satu pilihan yang bijak.
Jika terus bersekolah, peluang untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik di masa hadapan akan menjadi lebih besar sekali gus dapat menjamin kehidupan dengan lebih sempurna.
Fikir juga mengenai kemahiran yang dipelajari ketika di sekolah. Mungkin sekarang apa dipelajari nampak seperti tidak berguna, tetapi apabila sudah dewasa dan perlu urus wang, masa itu kita akan rasa lega sebab pernah belajar matematik atau perakaunan.