Prestasi Kedah masih boleh diperkemas

Iklan
Mohamad Radhi (gambar kecil) yakin pengurusan KDA FC sedang dalam proses memulihkan prestasi dan keyakinan Sang Kenari selepas mempamerkan aksi tidak konsisten.

EXCO Belia dan Sukan Kedah, Mohamad Radhi Mat Din yakin pengurusan Kedah Darul Aman (KDA) FC sedang dalam proses memulihkan prestasi dan keyakinan Sang Kenari selepas mempamerkan aksi tidak konsisten termasuk tersingkir Piala Cabaran 2023.

Bekas kapten legenda pasukan bola sepak Hijau Kuning itu percaya prestasi semasa tersebut masih mampu lagi dibaiki sebelum Liga Super 2023 kembali bersambung dan KDA FC menerima kunjungan Negeri Sembilan FC pada 28 Oktober ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kelab milik Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar itu berada pada landasan tepat untuk merebut kedudukan kedua Liga Super musim ini dan perkara tersebut mampu dicapai jika faktor-faktor yang menyebabkan prestasi menurun dapat diatasi dengan segera.

"Prestasi dan suasana sekarang bukan sukar tapi prestasi semasa ada kaitan dengan perkara lain menyebabkan tidak memberangsangkan. Tapi kita yakin atas tindak balas yang cepat oleh jurulatih dan pengurusan.

Iklan

"Kita yakin kedudukan mungkin boleh berubah dengan kedudukan yang agak selesa (selepas semua masalah dapat diselesaikan) dan selepas itu kita boleh layak ke peringkat Asia," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keyakinannya terhadap prestasi semasa KDA FC yang dilihat tidak memberangsangkan biarpun mempunyai peluang untuk mencuri slot beraksi di pentas Asia pada musim 2024.

Iklan

Tidak menjelaskan kekangan yang sedang dihadapi oleh Sang Kenari, Mohamad Radhi berkata, bukan mudah untuk menguruskan sebuah pasukan bola sepak yang memerlukan perbelanjaan kewangan yang besar.

Menurutnya, terdapat rungutan daripada beberapa pihak termasuk penyokong dan berharap pengurusan serta pihak pentadbiran KDA FC dapat menguruskan secepat mungkin untuk kembali ke prestasi lebih baik.

"Saya mengharapkan perkara tersebut (pengurusan KDA FC menyelesaikan masalah berbangkit dengan segera) kerana bukan senang untuk menguruskan sebuah pasukan bola sepak dengan kewangan yang besar.

"Tapi apapun di peringkat pentadbiran saya yakin dengan Tan Sri Mohd Daud khususnya, dan juga Ketua Pegawai Eksekutifnya (Khamal Idris Ali) akan cuba menyelesaikannya sebagai satu motivasi kepada pasukan (untuk kembali bangkit)," ujar beliau.