EDISI ketiga Liga Super Bola Jaring (NSL) 2023 bakal menyajikan aksi dramatik pertembungan lapan pasukan yang bertanding menjelang kejohanan berprestij itu yang membuka tirai di Stadium Juara, Bukit Kiara bermula Jumaat.
Presiden Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM), Alwiyah Talib berkata, kesemua pasukan dilihat begitu teruja mempersiapkan pasukan masing-masing termasuk membawa masuk pemain import.
Malah beliau berkata, ada dalam kalangan pasukan yang mendapat tajaan pihak tertentu, selain para pemain juga dilihat begitu bersemangat dan tidak sabar untuk turun beraksi.
"Saya nampak satu gelombang bola jaring berlaku di Malaysia pada tahun ini. Malah saya juga pasti, para penonton akan menyaksikan satu kejohanan serta pertandingan yang sangat dramatik.
"Difahamkan tahun ini ramai penyertaan pemain luar negara dan kebetulan Piala Dunia Bola Jaring baru sahaja berakhir. Semangat berkobar-kobar pemain bola jaring di Malaysia sangat tinggi.
"Kebetulan pula MSN (Majlis Sukan Negara) giat mengadakan NNDP (Program Pembangunan Bola Jaring Negara) di peringkat akar umbi. Kesemua perkembangan itu mengujakan arena bola jaring negara,” katanya.
Alwiyah turut meluahkan keterujaan kerjasama antara persatuan dan MSN negeri untuk membentuk pasukan yang mantap bagi menghadapi kejohanan tersebut.
"Saya nampak semangat negeri-negeri yang bertanding terutama persatuan bola jaring dan MSN saling membantu untuk menyediakan pasukan yang terbaik.
"Seolah-olah datang satu aura kepada negeri-negeri. Apa yang pasti setiap pasukan nak menang dan saya nampak mereka sanggup usaha bersama MSN negeri.
"Apapun ia bukan satu pertandingan atau mengejar kejuaraan semata-mata sebaliknya untuk mempromosi sukan ini dalam kalangan wanita di Malaysia,” katanya.
Justeru, Alwiyah mengajak para peminat untuk membanjiri Stadium Juara, Bukit Kiara untuk memeriahkan kejohanan tersebut yang menjanjikan aksi yang mendebarkan.
"Daripada 11 pemain import empat orang dari Uganda dan mereka beraksi pada Piala Dunia Bola Jaring yang lalu. Sudah pasti ia jadi faktor wow buat peminat lihat sendiri mereka beraksi.
"Mana tahu satu hari nanti pemain-pemain Malaysia juga seperti itu nanti (beraksi pada Piala Dunia). Itulah hasrat kami untuk lihat pasukan bola jaring negara boleh pergi lebih jauh lagi di pentas antarabangsa,” katanya.
Saingan selama empat minggu itu bakal menyaksikan persaingan lapan pasukan iaitu Johor Jewels, KL Wildcats, Selangor Angels, Perak Phoenix, Negeri Sembilan Venom, Pahang Tulips serta dua pendatang baharu Terengganu Marvel dan Putrajaya Dynamites.