BRUSSELS - [DIKEMAS KINI] Diplomat tertinggi Kesatuan Eropah (EU) berkata tindakan Israel mengenakan sekatan penuh dan meneruskan pengeboman di Genting Gaza sebagai melanggar Konvensyen Geneva.
Ketua Dasar Luar EU, Josep Borrell turut menegaskan bahawa hak mempertahankan diri perlu dilakukan mengikut undang-undang antarabangsa bukannya menyerang kawasan penempatan awam secara membabi buta.
Rejim Zionis sebelum ini mempertahankan tindakannya membedil kawasan awam di Genting Gaza yang dikepung sebagai hak mempertahankan diri selepas Hamas melancarkan serangan mengejut digelar Operasi Banjir al-Aqsa pada Sabtu lalu.
"Beberapa tindakan (oleh Israel) seperti memotong bekalan elektrik, air dan makanan ke atas orang awam adalah bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.
"Sebelum ini PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) juga telah menyatakan perkara sama bahawa beberapa tindakan Israel melanggar hak asasi manusia,” kata Borrell semasa mesyuarat secara maya bersama Menteri Luar EU bagi membincangkan konflik Hamas-Israel.
Tambahnya, hukuman menyeluruh ke atas semua warga Palestin tidak adil dan tidak mendatangkan apa-apa hasil.
Bagaimanapun, semasa mesyuarat tersebut blok 27 negara Eropah itu tidak menyatakan pendirian mereka sama ada ia akan mengambil tindakan terhadap Tel Aviv.
Kenyataan Borrell meletakkan EU tidak senada dengan mesej dari Washington di mana pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden setakat ini mengelak daripada mengkritik tindakan Israel di Gaza.
Ia juga merupakan kritikan paling keras oleh seorang tokoh kanan EU terhadap serangan ofensif Israel di Gaza yang setakat ini telah meragut sekitar 900 nyawa.
Terus salur bantuan kepada Palestin
Dalam pada itu, Borrell memaklumkan bahawa majoriti Menteri Luar EU bersetuju untuk terus menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin.
Langkah itu sekali gus membatalkan pengumuman Pesuruhjaya Eropah, Olivier Varhelyi bahawa semua dana daripada program pembangunan EU untuk Palestin akan digantung segera sebaliknya ia disemak semula.
"Ia adalah satu kesilapan besar pada saat genting ini untuk menghentikan sokongan EU kepada pihak berkuasa Palestin.
"Pada masa ini, jumlah kematian di Gaza semakin meningkat dan keadaan kemanusiaan sangat teruk.
"EU perlu memberi sokongan tambahan, bukannya mengurangkan bantuan,” ujar Borrell.
Cadangan oleh Varhelyi mendapat kritikan meluas daripada Menteri Luar EU dengan Sepanyol, Perancis, Ireland dan Luxembourg tidak senada dengan diplomat dari Hungary itu.
Genosid terang-terangan
Utusan Khas Palestin ke PBB, Riyad Mansour pula menyifatkan tindakan Israel menyekat bekalan elektrik, air dan makanan ke Gaza umpama genosid atau pembunuhan beramai-ramai.
Menurut Riyad, tindakan rejim Zionis itu jelas membuktikan ia mahu penduduk di Gaza mati kelaparan.
"Israel menggunakan kelaparan sebagai kaedah peperangan. Mereka mengebom orang awam di Gaza dan cuba menghapuskan kewujudan Palestin.
"Semua tindakan ini adalah jenayah perang dan dibuat secara terang-terangan,” katanya.
Pada Isnin lalu, Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant mengumumkan mengenai sekatan total untuk menghentikan makanan dan bahan api ke Gaza.
Kepungan ke atas Tebing dikuatkuasakan oleh Israel dan Mesir sejak 2007, selepas pentadbiran Gaza diambil alih oleh Hamas yang menggantikan Fatah (pihak berkuasa Palestin).
Sejak itu, Gaza dikepung dan bertukar menjadi penjara terbuka terbesar di dunia melibatkan 2.3 juta warga Palestin di Gaza.
Sekatan yang bertentangan dengan undang-undang antarabangsa itu menyebabkan bekalan ubat, air, elektrik, keperluan asas seperti makanan dan penyelenggaraan prasarana terjejas teruk.
Keadaan lebih parah apabila Gaza diserang oleh tentera Israel dalam empat serangan besar antara 2009-2018 melibatkan kematian ribuan warga Palestin, puluhan ribu tercedera dan pemusnahan prasarana seperti sekolah, masjid, bangunan kerajaan, universiti, hospital, infrastruktur bekalan air serta elektrik. - Agensi