Langkah Malaysia bantu Palestin antara tumpuan Dewan Rakyat

Iklan
Kelihatan seorang lelaki dan wanita Palestin sedang berjalan meninggalkan kawasan susulan serangan udara Israel di barat kem pelarian Jablaiya, utara Semenanjung Gaza pada Rabu. - Foto EPA

KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Rakyat hari ini antara lain akan membincangkan langkah yang diambil Malaysia dalam membantu mangsa di Gaza berikutan sekatan oleh Israel terhadap bekalan keperluan asas seperti elektrik, makanan, air dan gas.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, perkara itu akan dibangkitkan Tan Hong Pin (PH-Bakri) kepada Menteri Luar pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT).

Iklan
Iklan

Turut dibangkitkan adalah berkaitan jerebu apabila Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) meminta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyatakan akta sedia ada yang mampu dikuatkuasakan kepada negara jiran akibat tindakan yang memberi kesan negatif kepada rakyat Malaysia.

Sementara itu, pada sesi soal jawab pula, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) meminta Menteri Komunikasi dan Digital menyatakan langkah penguatkuasaan undang-undang dan kesedaran masyarakat mengenai bahaya ancaman siber dengan mengunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menggodam kata laluan, membocorkan maklumat dan menipu pengguna serta mengakibatkan pelanggaran data dan kerugian kewangan.

Iklan

Turut tersenarai adalah soalan Datuk Suhaimi Nasir (BN-Libaran) kepada Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan mengenai inisiatif bagi membantu golongan penjaja tanpa premis untuk mendapatkan lesen penjaja dan lokasi berniaga.

Usai soal jawab lisan, persidangan diteruskan dengan bacaan kali kedua Rang Undang-undang Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Pindaan) 2023 dan Rang Undang-undang Syarikat (Pindaan) 2023.

Iklan

Persidangan kali ini berlangsung selama 32 hari hingga 30 November. - Bernama