Momentum kejayaan yang dirangkul oleh Kumpulan Drama Llamas dari Sekolah Kebangsaan Setiawangsa, Kuala Lumpur sebagai juara Petrosains Science Drama Competition (PSDC) pada 4 Julai lalu di Kuala Lumpur, diteruskan apabila mereka mengharumkan nama Malaysia dengan muncul sebagai juara di International Science Drama Competition (ISDC) 2023 di Menara CW, Bangkok, Thailand pada 10 September lalu.
Dalam drama mereka yang menghiburkan bertajuk ’Aviation Revolution Journey to Sustainability’ yang diilhamkan untuk mengurangkan kesan perubahan iklim, Pasukan Drama Llamas dari SK Setiawangsa ini mengalahkan pasukan lain dari rantau Asia sekali gus merekodkan kemenangan kali ketiga Malaysia memenangi pertandingan antarabangsa tersebut selepas memenangi gelaran itu pada tahun 2018 dan 2019.
Pertandingan ISDC itu merupakan anjuran Asia Pacific Network of Science and Technology Centres (ASPAC), yang turut dianggotai oleh Petrosains, The Discovery Centre.
Episod kejayaan itu adalah rentetan kemenangan pada PSDC yang dianjurkan bersama Petrosains dan Kementerian Pendidikan sebelum itu yang melayakkan kumpulan Drama Llamas membolot hadiah utama termasuk penajaan perbelanjaan penuh untuk bersaing dalam pertandingan antarabangsa di Bangkok.
ISDC 2023 di Bangkok kali ini menyaksikan kumpulan-kumpulan drama dalam kategori junior dan terbuka dari seluruh rantau Asia berentap mempamerkan persembahan drama terbaik mereka selama tujuh minit sebagai memenuhi syarat pertandingan iaitu pengisian saintifik, kemantapan persembahan pelakon, persembahan keseluruhan dan kreativiti.
Pemilihan tema drama ‘Producing Green, Consuming Clean’ adalah simbolik kepada tahun 2023 sebagai International Year of Millets dan sejajar dengan kebimbangan global tentang kemampanan pengurusan alam sekitar.
Kemenangan itu lebih manis lagi apabila Hassan Ali Rayyan Hirman Falani dari Malaysia juga dijulang sebagai Oustanding Performer bagi kategori remaja di ISDC. Pelakon berusia 12 tahun itu turut dinobatkan sebagai Most Outstanding Performer di PSDC sebelum ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains, Ezarisma Azni Mohamad, pihaknya amat gembira kerana pasukan dari Malaysia (SK Setiawangsa) sekali lagi berjaya dinobatkan sebagai pemenang pertandingan itu.
Ujar beliau, Petrosains turut berbangga dengan semua peserta muda, yang mempamerkan bakat dan pemahaman yang hebat tentang konsep sains dan kemampanan melalui persembahan mereka.
"Persembahan ini adalah bukti bahawa seni juga mampu memperkayakan pembelajaran sains dan sains melalui drama pula boleh menjadikan pengalaman itu lebih bermakna bagi semua yang terlibat.
"Ia juga memberi peluang kepada golongan muda untuk meneroka aktiviti di luar persekitaran bilik darjah untuk lebih memahami dan mengingati konsep sains, menjadikan keseluruhan pembelajaran menyeronokkan.
"Saya juga berterima kasih atas sokongan penuh PETRONAS yang telah memainkan peranan penting dalam kejayaan kami dalam kedua-dua pertandingan tempatan dan antarabangsa serta kepada Kementerian Pendidikan kerana bersama-sama menganjurkan pertandingan itu dengan kami,” katanya.
Sementara itu, Guru Besar SK Setiawangsa, Maheran Ab Halim memberitahu, susulan kemenangan kumpulan Drama Llamas dalam PSDC dan ISDC baru-baru ini, mereka telah dijemput untuk membuat persembahan semasa Hari Terbuka Pejabat Pendidikan Daerah Keramat pada September dan bakal menyertai satu lagi pertandingan drama peringkat kebangsaan pada November.
Katanya, pihaknya juga sudah merancang untuk menyertai PSDC tahun depan dengan harapan untuk meneruskan kejayaan besar mereka seperti tahun ini.
"Saya rasa pertandingan ini telah membantu pelajar saya memperoleh banyak pengalaman yang tidak ternilai dan bakal membantu mereka berkembang dengan lebih baik sebagai seorang insan. Pastinya kenangan manis ini akan mereka hargai selama-lamanya dan jadi memori yang tak dapat dilupakan.
"Saya percaya keseluruhan pengalaman ini akan memberi inspirasi kepada para peserta untuk terus bekerja keras dan lebih yakin dengan diri sendiri,” katanya.
Manakala guru yang juga pengarah dan penulis skrip kumpulan Drama Llamas, Wan Mohamed Faris Wan Yusoff berkata, walaupun terkejut dengan kemenangan besar itu, namun beliau bersyukur atas kejayaan yang dibina hasil usaha gigih dan semangat berpasukan tinggi seluruh ahli kumpulan Drama Llamas.
"Rasa macam tak percaya dan terkejut tapi saya sangat bersyukur kerana kerja keras kami membuahkan hasil dan sudah tentu kami amat berbesar hati kerana mendapat peluang untuk menjulang nama Malaysia di pentas antarabangsa,” katanya.
Sebagai cabang impak sosial PETRONAS dalam tonggak pendidikan STEM, penglibatan Petrosains dalam PSDC adalah sebahagian daripada sumbangan mereka kepada negara dalam menyokong aspirasi kerajaan untuk membangunkan generasi masa depan pemikir kritis yang cenderung saintifik.
Pertandingan ini pertama kali diadakan pada 2016 dikenali sebagai Malaysian Finals of ISDC, sebelum ditukarkan nama kepada Petrosains Science Drama Competition pada 2019.
Manakala objektif pertandingan ini adalah untuk mempromosikan sains melalui drama di kalangan generasi muda. Kriteria pertandingan ini mencerminkan pendekatan pembelajaran Petrosains di mana teknik yang berbeza seperti seni persembahan digunakan untuk mencetuskan minat, menggalakkan kreativiti dan membangkitkan semangat kalangan pelajar dalam sains.
Sebagai pemenang kategori utama ISDC 2023, kumpulan Drama Llamas dari SK Setiawangsa membawa pulang hadiah wang tunai 15,000 baht (RM1,967).