KUALA LUMPUR - Rejim Israel tidak berhak menyekat segala bentuk kemanusiaan dari negara luar kepada penduduk di Gaza, Palestin.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, mengambil kira situasi kritikal pada masa ini, Malaysia juga menggesa masyarakat dunia termasuk pertubuhan antarabangsa untuk segera menyalurkan bantuan kemanusiaan ke sana.
Pada masa sama, Malaysia turut meluahkan kekecewaan terhadap tindakan berat sebelah dalam menangani perang Israel-Palestin.
"Tatkala pihak Barat dengan sepantas kilat mengambil tindakan dan dan membantu Kiev dalam mempertahankan diri dari pencerobohan Moscow, rakyat Palestin terus dipinggir tanpa sebarang pembelaan atau keadilan.
"Ini jelas menyimpang dengan prinsip kemanusiaan sejagat serta undang-undang antarabangsa.
"Kita juga bangga sewaktu satu dunia menghapuskan pemerintahan apartheid di Afrika Selatan.
"Kenapa pula dasar apartheid rejim Israel dibiarkan terus bermaharajalela dan melanggar norma-norma kemanusiaan?” katanya.
Tambah beliau, Malaysia akan terus membantu Palestin dan buat permulaan, rakyat Malaysia yang ingin menyumbang boleh menyalurkan dana kepada Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).
Ujarnya, sumbangan awal sebanyak RM1 juta daripada akaun itu akan disampaikan kepada Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali pada Khamis. - Awani