HULU LANGAT - Sebanyak empat buah lori yang membawa lebih muatan sehingga 70 peratus telah disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Op Mammoth Khas di sini pada Rabu.
Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, dalam operasi itu sebanyak 18 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti kesalahan lebih muatan, tiada lesen memandu kompeten (CDL) dan lesen kenderaan perdagangan (GDL).
Iklan
Iklan
"Kita turut mengesan lori membawa muatan melebihi had berat dibenarkan di bawah Perintah Sekatan Berat (Jalan Persekutuan) 2018 iaitu berat muatan di antara 71 peratus hingga 103 peratus.
"Kenderaan ini juga telah disita bagi tujuan siasatan lanjut di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715)," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Lokman berkata, operasi kenderaan berat yang dilaksanakan pada jam 4.30 pagi hingga 8.30 pagi itu adalah hasil aduan orang awam.
"Ops Mammoth ini akan diteruskan oleh JPJ dari semasa ke semasa bagi membanteras kenderaan berat melampau yang menjadi punca kegagalan fungsi teknikal dan sistem brek sehingga merisikokan keselamatan pengguna jalan raya.
"Orang awam boleh terus melaporkan kesalahan atau keraguan yang dilakukan oleh kenderaan berat secara terus dengan menggunakan Aplikasi MyJPJ melalui menu e-Aduan@jpj atau melalui aduan email JPJ aduantrafik@jpj.gov.my," katanya.