RUU KATF 2023 langkah positif stabilkan makroekonomi negara

Iklan
Economy Global Business Marketing Managment Concept

SHAH ALAM - Usaha memastikan ketelusan tinggi dan pengurusan ekonomi yang sistematik melalui Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (RUU KATF 2023) merupakan langkah positif penting dalam memastikan kestabilan makroekonomi negara.

Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) - Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR) dalam kenyataan berkata, prinsip-prinsip yang ditekankan di dalam RUU tersebut diharap memberi haluan perkembangan ekonomi yang dapat meningkatkan iklim pelaburan sekali gus mendatangkan hasil berimpak tinggi.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan tersebut, ia selaras dengan sasaran negara untuk berada pada kedudukan 25 terbaik daripada 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang 10 tahun akan datang.

"Dalam masa yang sama reformasi fiskal tersebut turut harus sentiasa mengutamakan keseimbangan dalam penyediaan sokongan dan bantuan bersasar yang tepat terhadap isu rakyat bagi menangani kos sara hidup yang semakin meningkat.

Iklan

"Sekalipun kerajaan akan mempunyai parameter yang lebih telus dan dikawal oleh perundangan yang lebih sistematik, kerajaan harus terus berhati-hati dalam menyeimbangkan disiplin kewangan yang dirancang dengan kemungkinan kitaran ekonomi yang tidak menentu dalam konteks Malaysia khususnya.

"Kepatuhan kepada setiap garis panduan dan garis masa yang termaktub di dalam perundangan berkenaan akan mengembalikan kredibiliti dan menjamin pengurusan kewangan berhemah dan produktif kepada negara,” kata kenyataan itu pada Khamis.

Iklan

Tambah kenyataan tersebut, komitmen kerajaan dalam merangka strategi hasil jangka sederhana dalam memastikan keberkesanan perbelanjaan awam dan pengurusan hutang dijangka mampu meningkatkan akauntabiliti dan transparensi pengurusan kewangan awam.

"Ini sekali gus membina kepercayaan awam dan pelabur bahawa kerajaan sedang berusaha mencapai kemampanan fiskal jangka panjang demi kesejahteraan rakyat.

"Untuk mencapai matlamat dan objektif ini, peraturan dan prosedur yang berkesan harus dilaksanakan demi memastikan bahawa Parlimen mampu memantau dan menyiasat perlaksanaan tanggungjawab kerajaan di bawah RUU KATF 2023, dan turut memastikan maklumat kewangan, ekonomi dan perbelanjaan didedahkan kepada umum dengan segera,” ujarnya.

Kenyataan KRPPM-IGAR pada Khamis.

Jelas kenyataan berkenaan, kerajaan juga diingatkan bahawa dalam menjamin keberkesanan perundangan itu, libat urus bersama badan profesional dan masyarakat sivil harus dilaksanakan secara berkala sejak awal lagi.

"Oleh itu, diharapkan bahawa Jawatankuasa Dasar Kewangan atau sub-jawatankuasa yang ditubuhkan untuk menilai risiko kewangan, hutang, dan tanggungan akan mempertimbangkan secara serius kerjasama dengan masyarakat sivil serta badan-badan profesional untuk merangsang dialog yang sangat diperlukan berkaitan keberkesanan reformasi kewangan negara.

"Kumpulan ini sentiasa siap sedia untuk sebarang peluang menjalin kerjasama dengan kerajaan dalam perkara ini,” menurutnya.

Kenyataan KRPPM-IGAR itu dikeluarkan oleh anggotanya yang terdiri daripada Tan Sri Dr Syed Hamid Albar, Tan Sri Mohamed Nazir Razak, Datuk Hussamuddin Yaacub, Datuk Dr Anis Yusal,Yusoff, Shah Hakim Zain, Anas Zubedy, Maha Balakrishnan, Christopher Leong, Dr Edmund Terence Gomez.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin; Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin; Presiden Transparency International-Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Dr Tricia Yeoh; Pengasas Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4), Cynthia Gabriel; Presiden Patriot, Brigadier Jeneral (B) Datuk Mohamed Arshad Mohamed Raji serta Pengarah Advokasi Undi18, Tharma Pillai.