Lelaki maut dihempap pokok dalam perjalanan ke tempat kerja

Iklan
Mangsa maut dihempap pokok ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Jalan Kampung Impian Jadi, Tuaran pada Khamis.

TUARAN - Seorang lelaki yang dalam perjalanan ke tempat kerja maut selepas dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Jalan Kampung Impian Jadi, di sini pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, Syair Sukma, 45, meninggal dunia serta-merta di lokasi akibat kecederaan yang dialaminya.

Iklan
Iklan

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Abd Qawie Abd Gapar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.58 pagi.

Menurutnya, seramai sembilan anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 11 kilometer dari BBP Tuaran.

Iklan

"Menurut maklumat, terdapat seorang mangsa dihempap pokok semasa menunggang motosikal.

"Mangsa dikatakan dalam perjalanan dari Kampung Simpangan ke tempat kerjanya di Borneo Beach.

Iklan

"Pasukan bomba ke lokasi kejadian dan bertindak memotong serta mengalihkan pokok tumbang yang menghempap mangsa ke bahu jalan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Abd Qawie berkata, hasil pemeriksaan mangsa telah meninggal dunia dan disahkan oleh pihak polis.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuaran oleh unit forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.

"Operasi ditamatkan pada jam 9.45 pagi selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi," katanya.