IPOH - Golongan muda pada hari ini perlu memahami perjuangan rakyat Palestin menerusi tentera Hamas sama seperti pejuang kemerdekaan Tanah Melayu.
Ketua Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Muda Negeri Perak, Dr Azizul Salehudin berkata, kebanyakan generasi muda kurang familiar dengan konflik Palestin-Israel disebabkan proses normalisasi yang telah berlangsung dalam dua dekad kebelakangan ini.
Menurutnya, rata-rata mungkin merasakan penduduk Palestin sedang hidup aman damai disisi Israel yang bersempadan dengannya.
"Sebenarnya, apa yang berlaku bukanlah peperangan, tetapi perjuangan mendapatkan kembali hak setelah sekian lama dirampas. Penduduk Palestin sejak tahun 1948 telah dijajah, ditindas, dihalau, dizalimi dan dibunuh oleh rejim Zionis Israel.
"Persepsi ini yang perlu diperbetulkan dikalangan anak muda. Operasi Taufan Al-Aqsa oleh penduduk Palestin yang diketuai Hamas ini bukanlah serangan, cari pasal atau balas dendam, tapi adalah perjuangan menuntut kembali hak dan maruah yang telah dirampas bertahun lamanya.
"Ia sama seperti perjuangan nenek moyang kita menuntut kemerdekaan. Sama seperti Mat Kilau, Tok Janggut, Maharajalela, Abdul Rahman Limbong, Dato' Bahaman, Tok Gajah, Dol Said, Rentap, Mat Salleh dan lain-lain melawan British untuk dapatkan kembali tanah, hak dan maruah milik penduduk asal Tanah Melayu," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Azizul berkata, apa yang berlaku tanah dan kebun rakyat Palestin dirampas, rumah mereka diroboh, seluruh keluarga termasuk anak kecil dihalau keluar dari kampung halaman.
Katanya, disebabkan itu rakyat Palestin hidup melarat di kem-kem pelarian di sempadan-sempadan Jordan dan Lubnan bertahun-tahun lamanya.
Menurutnya, dalam masa sama Masjid suci umat Islam, Al-Aqsa diceroboh dan dihina oleh pihak Zionis berulang kali tanpa ada yang membela.
"Selama 2 dekad ini, seluruh dunia tidak memandang isu ini oleh kerana projek normalisasi yang dijalankan oleh Zionis dan sekutunya. Mereka berjaya mencipta persepsi yang bahawa Israel dan Palestin sedang aman. Mereka berjaya mencipta persepsi bahawa 'two states solution' berjaya.
"Mereka berjaya mencipta persepsi bahawa penentangan terhadap Zionis adalah keganasan militan," katanya.
Dalam pada itu, Azizul berkata, anak muda di negara ini perlu sentiasa cakna dengan isu sejagat yang berlaku, apatah lagi yang melibatkan penindasan terhadap umat Islam.
Katanya, golongan muda juga harus melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan agar tidak mudah menjadi mangsa propaganda dan penipuan.