JUAN Torres Garrido dinaikkan pangkat sebagai pengendali baharu skuad bawah 23 tahun (B-23) negara bagi menggantikan E Elavarasan.
Pengendali dari Sepanyol berusia 43 tahun itu sebelum ini merupakan penolong jurulatih bagi membantu Elavarasan sejak September tahun lalu.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk S Sivasundaram berkata, badan induk bola sepak negara itu yakin dengan kemampuan yang dimiliki Jusn Torres mengemudi skuad Harimau Muda menghadapi Piala Asia B-23 2024 di Qatar, April depan.
"FAM yakin dan percaya, dengan latar belakang pengalaman yang dimiliki serta beliau telah setahun berada dalam sistem skuad B-23 kebangsaan, Juan Torres mampu mengemudi skuad ini.
"Setakat ini tiada KPI diletakkan kepada Juan Torres dan bermulanya tugas beliau, kita akan lihat perancangan yang boleh dilakukan," katanya dalam sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Khamis.
Jawatan ketua jurulatih B-23 kosong Elavarasan meletakkan jawatan pada 18 September lalu untuk kembali kembali fokus kepada peranan asalnya sebagai penolong ketua jurulatih kebangsaan.
Dalam pada itu, Sivasundaram berkata, bekas kapten skuad kebangsaan, Shukor Adan pula dilantik sebagai penolong ketua jurulatih B-23.
Menurutnya, pelantikan tersebut dibuat selepas FAM turut menemuduga beberpa bekas pemain termasuk Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Nidzam Jamil dan Rusdi Suparman.
"Dengan kekosongan jawatan penolong ketua jurulatih B-23 kebangsaan yang diisi Juan Torres sebelum ini, jawatan tersebut akan diisi oleh seorang jurulatih tempatan.
"FAM telah memanggil beberapa jurulatih muda tempatan untuk sesi temu duga pada September lalu.
"Selepas membuat penelitian dan penilaian menyeluruh, FAM telah membuat keputusan untuk memilih dan melantik bekas kapten skuad kebangsaan, Shukor Adan sebagai penolong ketua jurulatih B-23," katanya.
Shukor bagaimanapun hanya secara rasmi akan memegang jawatan tersebut selepas kontraknya sebagai penolong jurulatih pasukan Liga Super, Kuala Lumpur City FC ketika ini berakhir.