KUALA LUMPUR - Seramai 12 individu melibatkan dua geng trak tunda yang merusuh menggunakan senjata kerana berebut untuk menunda kereta dalam kemalangan di Kampung Malaysia Tambahan, Cheras minggu lalu, didenda masing-masing RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis.
Mereka ialah penarik kereta, Muhammad Farid Khalid, 35; dua pemandu lori dan mekanik, Amir Aizuddin Alfarizan, 23; Muhammad Lum Chang Sing, 24; Mohammad Hakimi Mohd Hanafi, 27; serta Muhammad Firdaus Azizul Rahman, 26.
Sekumpulan lagi tertuduh itu ialah tiga jurujual, Chan Weng Loon, 25; Khoo Ming Ru, 30; Tan Jin Aun, 26; (pemandu lori) Wong Jia Jiet, 26; (mekanik) Kesavan, 19; termasuk dua penarik kereta, Wong Zi Jing, 25; dan Wan Yi Han, 28.
Mahkamah memerintahkan semua lelaki itu dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Semua tertuduh dikenakan hukuman tersebut selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret, Illi Marisqa Khalizan.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama hadir (atau menyertai atau didapati berada) dalam rusuhan dan memiliki senjata api (sama ada amunisi, bahan letupan, benda melecur, benda yang boleh memudaratkan, kayu, bata atau apa-apa senjata maut) yang boleh digunakan untuk menyerang.
Kesalahan didakwa dilakukan di hadapan sebuah kondominium di Kampung Malaysia Tambahan, di sini pada jam 1.37 pagi, 2 Oktober lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, peguam, Hannan Ishak dan Tripatjit Singh yang mewakili semua tertuduh, merayu agar anak guam mereka dikenakan hukuman berbentuk denda pada kadar minimum kerana insaf serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan berkenaan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Zuhairi Osman mencadangkan mahkamah menjatuhi hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada semua tertuduh.
Sebelum ini, polis menahan lapan lelaki selepas menerima maklumat daripada orang ramai berhubung satu insiden rusuhan menggunakan senjata ekoran berebut untuk menunda kereta yang terbabit dalam kemalangan di lokasi tersebut.