Data eKasih Kelantan tidak tunjuk keadaan sebenar - Mohd Amar

Iklan
MOHD AMAR

KOTA BHARU - Data semasa eKasih Kelantan didakwa tidak menunjukkan keadaan sebenar kadar bilangan Ketua Isi Rumah (KIR) miskin dan miskin tegar di negeri ini.

Perkara itu dibangkitkan oleh Yang Dipertua (Speaker) Dewan Undangan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang mahukan rekod tersebut dibuat proses pemutihan dan dikemas kini.

Iklan
Iklan

"Berkaitan senarai penerima e-Kasih Kelantan pernah diulas sebelum ini dan wajar dilihat semula.

"Bagi saya, senarai itu tidak mencerminkan keadaan sebenar dan perlu diberikan perhatian,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Bangunan B ROHM-Wako Electronics Malaysia (RWEM) di Pengkalan Chepa di sini, pada Khamis.

Iklan
Mohd Amar (dua dari kanan), Isao (tiga dari kanan) dan Mohd Nassuruddin (tiga dari kiri) bersama kenamaan lain memotong riben sebagai simbolik perasmian.

Turut hadir Presiden ROHM, Isao Matsumoto dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud yang merasmikan majlis itu.

Pada Selasa lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof ketika berucap pada Mesyuarat Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Persekutuan negeri Kelantan memberitahu negeri itu merekodkan 67,772 bilangan KIR miskin dan miskin tegar, sekali gus yang tertinggi di Semenanjung.

Iklan

Rekod sehingga 11 September lalu itu menunjukkan KIR miskin di Kelantan ialah seramai 57,355 orang manakala sebanyak 10,417 KIR miskin tegar.

Berkaitan itu, Mohd Amar yang juga bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan bagaimanapun berkata, tidak dapat dipastikan data mana-mana yang dirujuk oleh Fadillah untuk menggambarkan kadar kemiskinan negeri ini.

"Kita tidak boleh beri komen panjang lebar mengenai isu ini kerana tidak pasti angka mana digunakan.

"Kalau berdasarkan rekod yang lepas ni, Kelantan bukan yang tertinggi. Ada negeri lain di depan dan Kelantan nombor tiga selepas Sabah, Sarawak, bukan nombor satu,” kata beliau.