HARIMAU Malaya mempunyai taktikal tersendiri untuk berdepan India sekali gus cuba memburu keputusan positif dalam aksi Pestabola Merdeka di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Jumaat.
Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon berkata, skuad negara menyedari kemampuan dimiliki India, namun yakin para pemainnya mempunyai kemampuan untuk menandingi lawan di ranking ke-102 dunia itu.
Beliau juga bagaikan sudah dapat menghidu kemampuan India yang memiliki permainan agresif dan rajin mengejar bola yang akan menjadi kekuatan utama skuad kendalian Igor Stimac itu.
"Seperti kita tahu, India berada di ranking sekitar 100 dunia dan mereka pasukan terbaik di Asia Selatan.Mereka mempunyai karakteristik agresif, bekerja keras dan amat kuat.
"Dengan karakteristik pasukan seperi ini kami mesti 'firm' dan kuat untuk berdepan mereka dari minit pertama hingga akhir untuk mendapat keputusan positif," katanya dalam sidang akhbar pra perlawanan di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Khamis.
Harimau Malaya kini menggalas misi untuk menang menentang India sekali gus menempah tiket ke final bertemu Tajikistan yang mendapat 'bye' di final.
Dalam pada itu, Pan-gon turut memaklumkan tonggak tengah, Paulo Josue berkemungkinan besar terlepas aksi Pestabola Merdeka kerana mengalami demam denggi.
Bagaimanapun, beliau berkata, Stuart Wilkin yang sebelum ini dilaporkan mengalami kecederaan sudah kembali sembuh sepenuhnya dan boleh diturunkan bertemu India.
"Semua pemain bersemangat dan berada pada tahap keyakinan tinggi untuk menentang India dan saya yakin kita mampu memberikan tentangan sengit kepada lawan.
"Kami menjangkakan tentangan sengit daripada India namun, kami akan memastikan DNA Harimau Malaya akan membanggakan penyokonh yang datang," katanya.