Warga Palestin amat hargai sokongan berterusan Malaysia

Iklan
Zambry Abd Kadir (depan tiga, kiri) menyerahkan sumbangan bernilai RM1 juta kepada Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) diwakili Walid Abu Ali (depan empat, kiri) di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kedutaan Palestin di Malaysia berterima kasih kepada kerajaan negara ini atas sokongan teguh tidak berbelah bagi terhadap rakyat wilayah itu susulan konflik terkini di Semenanjung Gaza.

Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali berkata, sokongan berterusan Malaysia buat rakyat Palestin bukan sesuatu yang baharu sekalipun dunia bersikap menutup mata terhadap penderitaan yang ditanggung oleh penduduk wilayah itu sejak berdekad lalu.

Iklan
Iklan

"Malaysia sentiasa memberikan sokongan dan menzahirkan semangat persaudaraan sama ada di peringkat domestik, serantau mahupun antarabangsa. Bagi pihak berkuasa Palestin, rakyat kami serta komuniti di Gaza dan Tebing Barat, Baitulmuqaddis, kami berterima kasih kepada Malaysia.

"Kami sangat hargai sokongan itu dan berdoa kepada Allah SWT agar melindungi Malaysia, memastikan ia kekal aman dan bersatu. Insya-Allah, kami akan raikan kalian di (Masjid) al-Aqsa suatu hari nanti. Terima kasih banyak Malaysia,” katanya pada persidangan media di lobi Parlimen hari ini.

Iklan

Sebelum itu, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyerahkan sumbangan awal RM1 juta daripada Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin kepada Walid Abu, bagi meringankan beban yang ditanggung oleh penduduk Palestin akibat konflik tersebut.

Pertempuran terkini di Palestin yang melibatkan Hamas, iaitu pihak berkuasa di Gaza, dan rejim Israel sejak 7 Oktober lepas, telah mengorbankan ratusan nyawa di kedua-dua belah pihak. - Bernama

Iklan