GEORGE TOWN - Semua jawatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah sensitif kerana mana-mana sahaja anggota polis boleh menyalah guna kuasa dan terlibat dengan rasuah, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Sehubungan itu, katanya, beliau sendiri telah mengarahkan Jabatan Intergriti dan Pematuhan Standard (JIPS) untuk menyiasat mana-mana pegawai atau anggota polis yang hidup mewah, di luar kemampuan sebenar.
"Ada yang cakap JSJ (Jabatan Siasatan Jenayah) itu satu post (jawatan) sensitif dalam PDRM, pada saya semua jawatan sensitif, sebab mana-mana manusia yang jadi polis mempunyai kuasa, dia boleh salah guna kuasa dan terlibat dalam rasuah.
".. beritahu saya mana satu post yang tidak sensitif dalam PDRM, JSJ sensitif, Pasukan Polis Marin (PPM) sensitif. malah Pasukan Gerakan Am (PGA) yang jaga sempadan (negara) tu lagi sensitif," katanya kepada pemberita dselepas merasmikan Sambutan Peringatan Hari Polis Marin ke 76 di Markas PPM Wilayah 1 di Batu Uban, di sini hari ini.
Sementara itu, merujuk kepada kenyataan Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain baru-baru ini yang memberi amaran kepada pegawai dan anggota hidup mewah kerana bersubahat dengan sindiket jenayah, Razarudin berkata, perkara itu memang telah dibincangkan bersama pengarah-pengarah pelbagai Jabatan di ibu pejabat Polis Bukit Aman.
"Kenyataan Datuk (Seri) Shuhaily itu adalah berpaksikan kepada fokus saya, sebelum itu pun saya sudah bincang dengan Timbalan Ketua Polis dan Shuhaily sendiri, melihat kepada pegawai-pegawai yang hidup mewah.
"Namun kalau dia (pegawai atau anggota) memang mampu hidup mewah, contoh ada sarjan yang isteri dia memang gaji RM80,000 sebulan sebab isteri dia adalah pegawai besar mana-mana syarikat, dia nak beli kapal terbang pun tak apa,” katanya.
Beliau berkata,JIPS sedang memeriksa dan membuat semakan terhadap semua pegawai dan anggota polis bagi memastikan mereka mengisi pengisytiharan harta, terutama melibatkan penambahan harta bagi memastikan ia selari dengan pendapatan.
Razarudin berkata, PDRM juga akan membetulkan secara dalaman kekurangan yang ada pada agensi berkenaan bagi mengembalikan integriti dan kepercayaan rakyat kepada polis.
"Kalau nak tanya saya adakah pegawai dan anggota terlibat dengan sindiket, saya kena cakap ada, saya duduk Pengarah (Jabatan Siasatan Jenayah) Narkotik dahulu, memang ada pegawai dan anggota terlibat dengan sindiket dan kita ambil tindakan di bawah Langkah-langkah Pencegahan Khas,'' katanya.
Beliau berkata, sejak awal tahun ini hingga bulan ini, 90 orang pegawai dan anggota polis ditahan oleh Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan jumlah itu terlalu kecil berbanding jumlah keseluruhan pegawai serta anggota PDRM.
Razarudin berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan membabitkan kes tatatertib terhadap 881 pegawai dan anggota sekak awal Januari hingga bulan ini iaitu kira-kira 0.06 peratus berbanding 130,000 anggota polis. - Bernama