SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tersenarai sebagai pemimpin dan ahli politik Islam paling berpengaruh di dunia.
Beliau menduduki tangga ke-11 bagi kategori pemerintah dan ahli politik menerusi penerbitan edisi terbaru ‘The Muslim 500: The World’s 500 Most Influential Muslim 2024’.
Beliau berada di belakang Presiden Indonesia, Joko Widodo yang menduduki tempat kesembilan dalam senarai sama.
Pada tahun 2022, Anwar berada di kedudukan ke-22 dalam kategori yang sama.
Dalam pada itu, Anwar berada di kedudukan ke-17 daripada 50 individu Islam paling berpengaruh di dunia.
Menurut penerbitan tersebut, pemilihan dibuat berdasarkan pelbagai bidang termasuk budaya, pemikiran, kewangan dan politik serta melakukan perubahan yang memberi impak kepada dunia Islam atau penganutnya.
Seorang lagi rakyat Malaysia, Tan Sri Profesor Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas yang juga Ahli Cendekiawan Islam berjaya menduduki tempat ke-25 dalam senarai ulama dan pendakwah paling berpengaruh di dunia.
Beliau adalah antara ilmuwan Islam yang banyak memberi sumbangan dalam bidang falsafah dan teologi Islam.