KUALA LUMPUR - Masalah sistem antara punca urusan kaunter di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 2, tidak dapat dijalankan pada Khamis dan Jumaat lalu.
DBKL berkata demikian sebagai maklum balas berhubung video tular berkenaan ketiadaan kakitangan DBKL di kaunter perkhidmatan Jabatan Perlesenan dan Pembangunan Perniagaan Tingkat 5, Menara DBKL 2.
DBKL menerusi penerangan video yang dikongsikan di aplikasi TikTok menjelaskan, siasatan berhubung isu tersebut telah dibuat dan mendapati urusan kaunter tidak dapat dilakukan ketika kejadian disebabkan masalah capaian sistem elesen.
"Notis permakluman kepada pelanggan telah ditampal di pintu masuk serta permakluman secara lisan kepada pelanggan.
"Semasa kejadian hanya bayaran berserta bil boleh dibuat di kaunter lapan manakala petugas lain diminta membuat semakan dokumen perjanjian di ruang kerja berasingan bagi memastikan urusan lain masih dapat diteruskan," katanya pada Khamis.
Menerusi video tular berdurasi 20 saat di media sosial memaparkan bilangan kaunter yang banyak namun tidak beroperasi dan tiada petugas.
Pada penerangan video berkenaan turut ditulis luahan, macam mana negara nak maju, 'kaunter buka, yang jaganya tak ada'.
DBKL dalam pada itu, turut memohon maaf berhubung insiden luar jangka itu.
"Kami memohon maaf di atas sebarang kesulitan dialami dan akan sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada warga kota," katanya.