KUALA LUMPUR - AirAsia menawarkan diskaun 50 peratus bagi tambang asas sehala secara eksklusif kepada penumpang MYAirline yang terjejas akibat penggantungan operasi syarikat penerbangan tersebut.
Tawaran istimewa itu yang berkuat kuasa serta-merta, adalah khusus kepada penumpang dengan tempahan penerbangan yang disahkan ke dan dari Kuala Lumpur, Langkawi, Pulau Pinang, Tawau, Kota Bharu, Kuching, Kota Kinabalu, Kota Kinabalu-Tawau dan Don Mueng-Bangkok dan Suvarnabhumi-Bangkok bermula hari ini hingga 30 November 2023.
Iklan
Iklan
"Kami memahami tekanan dan gangguan susulan situasi yang berlaku dan berharap diskaun 50 peratus ini akan membantu penumpang yang terjejas untuk membuat tempahan perjalanan baharu, menggunakan sepenuhnya rangkaian penerbangan kami yang meluas ke semua destinasi utama,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Ltd Bo Lingam dalam satu kenyataan hari ini.
MYAirline dalam satu kenyataan awal hari ini mengumumkan, ia menggantung operasinya berkuat kuasa hari ini sehingga diberitahu kelak berikutan tekanan kewangan yang ketara.
Syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata keputusan tersebut diambil berikutan tekanan kewangan yang menyebabkan operasi perlu digantung sementara menunggu penstrukturan dan permodalan semula pemegang sahamnya. - Bernama