Lebih 15 NGO di Kedah zahir solidariti terhadap Palestin

Iklan
Lebih 15 NGO di Kedah menyatakan solidariti terhadap perjuangan Palestin menentang rejim Zionis.

SUNGAI PETANI - Lebih 15 badan bukan kerajaan (NGO) di Kedah menzahirkan sokongan terhadap perjuangan menentang rejim Zionis sekali gus mengajak umat Islam membela nasib rakyat Palestin yang ditindas.

Pengerusi Sekretariat Gabungan Ngo Pembela Rakyat Palestin, Nasrun Othman berkata, mereka turut mengharapkan agar umat Islam di Malaysia mempunyai rasa tanggungjawab dan cakna dengan apa yang menimpa rakyat Palestin.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pendedahan juga dilakukan untuk membolehkan umat Islam bersama-sama merasai penderitaan yang ditanggung.

"Kita nak bangkitkan semangat jihad untuk membela rakyat Palestin yang kini sedang diuji dengan harapan agar pejuang Islam di bumi tersebut dapat menghancurkan rejim Zionis," katanya kepada media pada Rabu.

Iklan
Nasrun

Beliau berkata, bagi menzahirkan sokongan tersebut, gabungan NGO seluruh Kedah akan mengadakan himpunan solidariti di Dataran Zero Kilometer di sini selepas sembahyang Jumaat esok.

"Kita harap seluruh bumi Palestin akan kembali menjadi hak umat Islam dan sentiasa berdoa agar ALLAH SWT memberi kemenangan ke atas mereka," katanya.

Iklan

Dalam masa sama, jelasnya, himpunan akan turut disertai lebih 15 NGO tersebut termasuk Yayasan Isra' Malaysia, An Nasr Care, Al- Faizin Care Kedah, Aspirasi Ummah Insani, Skuad Badar dan Skuad Prihatin Kedah.

Selain itu, Pondok Brotherhood, Human Care Sungai Petani, Belia Sejahtera Berani Sungai Petani, Pertubuhan Pembangunan Insan At-Tormizi, Gabungan Ayahanda-Ayahanda Kedah, Pertubuhan Hal Ehwal Sekolah Agama Kedah, Pertubuhan Belia Sejahtera Sungai Petani dan Sahabat Wanita Sejahtera dijangka turut hadir.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor juga dijadualkan akan turut bersama gabungan NGO terbabit menzahirkan sokongan terhadap perjuangan Palestin menentang rejim Zionis pada Jumaat.