'Tak pernah berpisah sejak dalam kandungan hingga ke liang lahad'

Iklan
Gambar menunjukkan Nur Shahidah (duduk hadapan kanan) dan Nur Zuhaidah (duduk hadapan kanan) yang maut bersama adik beradik yang lain.

PASIR SALAK - Pemergian pasangan beradik kembar dalam kejadian kemalangan maut di Jalan Kampung Gajah-Tanjung Tualang berhampiran Kampung Changkat Rambai, di sini pada Rabu tidak pernah berpisah sejak dalam kandungan.

Ibu mangsa, Siti Masyitah Talkah, 71, memaklumkan kejadian menimpa Nur Zuhaidah Abdull Karim dan adiknya, Nur Shahidah Abdull Karim, 33, amat mengejutkan kerana ia berlaku sejurus kembali ke tanah air selepas menunaikan ibadah umrah.

Iklan
Iklan

Berita mengenai kejadian itu diketahui ketika dia berada di rumah anak keduanya di Banting kira-kira dua hari tiba di tanah air sebelum pulang ke kediamannya di Felcra Seberang Perak, Kampung Gajah di sini.

"Saya dapat berita mengenai keadaan mereka melalui jiran menerusi panggilan telefon. Ya ALLAH, masa itu tak tahu nak cakap macam mana, rasa nak menjerit tapi tak mampu. Dia (jiran) nasihatkan saya jangan meraung, serah kepada ALLAH, hanya kita sahaja tahu perasaan ketika itu.

Iklan

"Selepas dapat berita itu saya terus ajak anak dan menantu balik segera sebab nak tengok wajah anak kembar buat kali terakhir," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Felcra Seberang Perak, Kampung Gajah, di sini pada malam Rabu.

Bercerita mengenai Allahyarham, Siti Masyitah memberitahu satu-satunya pasangan kembar daripada sembilan beradik itu tidak pernah berenggang dan amat rapat sejak kecil.

Iklan

Menurutnya, mereka yang merupakan anak ketujuh dan kelapan itu amat rapat malah sejak dari sekolah hingga ke tempat kerja pun bersama malah keakraban mereka itu sejak dari alam rahim sehinggalah ke liang lahad.

Lebih memilukan apabila dua beradik kembar itulah yang menjaga Siti Masyitah kerana adik beradik yang lain tinggal berjauhan atas faktor kerja dan berkeluarga.

Siti Masyitah bagaimanapun reda dengan kehendak Ilahi di atas kejadian yang menimpa kedua-dua anaknya sekali gus itu.

Dalam kejadian pada Rabu, dua beradik kembar itu maut selepas kereta Perodua Kancil dinaiki mereka terbabit dalam nahas di Jalan Kampung Gajah-Tanjung Tualang berhampiran Kampung Changkat Rambai, di sini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kejadian itu dipercayai berlaku apabila kenderaan mangsa dipercayai bertembung dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Nissan X-Trail selepas gagal memotong kenderaan di hadapannya.