SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan akan menambah kawasan penanaman padi di Londah, Gemas membabitkan 20 hektar tanah termasuk di kawasan tanah terbiar bagi meningkatkan pengeluaran beras di negeri ini.
Exco Kanan yang juga Exco Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, langkah itu sebagai usaha jangka panjang dalam menangani isu kekurangan beras yang berlaku.
"Langkah intervensi jangka pendek telah kita ambil sebelum ini dan kerajaan negeri turut ambil beberapa tindakan jangka panjang dari segi pembangunan tanah sawah merangkumi pembaikan infrastruktur ladang, sistem pengairan, peralatan tanah dan program peningkatan hasil padi.
"Program ini telah kita rancang dengan pihak Jabatan Pertanian yang menyediakan kertas dasar bagi dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya.
Beliau menjawab soalan Mohamad Hanifah Abu Baker(Labu-PN) mengenai masalah bekalan yang berlaku selain langkah kerajaan untuk menambah bekalan beras di negeri ini.
Jalaluddin berkata, ketika ini kawasan penanaman padi di Negeri Sembilan membabitkan seluas 1,200 hektar namun ia belum mampu menampung keperluan makanan ruji itu di negeri ini.
Secara keseluruhannya kita memerlukan sekitar 300 hektar lagi untuk melengkapkan 1,500 hektar selaras dengan hasrat mewujudkan sebuah kilang memproses padi," katanya.
Beliau turut memaklumkan, secara keseluruhan, sebanyak 3,500 tan beras sebulan diperlukan di negeri ini.
Sehubungan itu, pihaknya meminta pengguna tidak perlu menyimpan stok beras kerana bekalan sentiasa ada.